Tawaran Menarik Harga Tiket Kombo Pestabola Merdeka
MakanBola
FA Malaysia

Pestabola Merdeka edisi 2024 menyaksikan tawaran tiket kombo dengan harga yang menarik telah diperkenalkan.

Kejohanan pada edisi kali ini akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil dan disertai oleh 4 buah negara iaitu Malaysia, Filipina, Lubnan dan juara bertahan, Tajikistan.

Bagi menambah kerancakan edisi 2024, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan inisiatif tiket kombo dengan tawaran harga yang menarik.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Hj Rahman, harga bagi tiket kombo yang ditawarkan adalah RM70 untuk kesemua empat perlawanan Pestabola Merdeka.

”Tiket dibuka untuk jualan pada esok (Rabu) dan dijual secara kombo berharga RM70 untuk empat perlawanan, dua aksi pada 4 September dan dua lagi aksi pada 8 September.”

Tambah beliau lagi, tawaran ini hanya terjad sehingga 20 Ogos ini dan harga akan kembali kepada asal setelah tamat tarikh tersebut.

”Tawaran harga kombo ini dibuka sehingga 20 Ogos, dan setelah itu tiket akan dijual pada harga biasa,” ujar beliau dalam sidang media Majlis Undian Pestabola Merdeka.

“Tiket terbuka berharga RM40, Grandstand berharga RM60, Premium berharga RM80 dan kanak-kanak pula berharga RM5.”

Skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti Vicente akan memulakan kempen Pestabola Merdeka berdepan Filipina pada 4 September nanti pada jam 9 malam.

Manakala, Lubnan akan berdepan Tajikistan pada sebelah petang dan pemenang bagi kedua-dua aksi bakal berentap di final pada 8 September pula.