Teknik Wan Kuzri Curi Perhatian Azmin Azram
MakanBola
UM Damansara United

Kebijaksanaan Wan Kuzri Wan Ahmad Kamal memperdayakan penjaga gol Perak FA menerusi sepakan percuma mencuri perhatian bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abd Aziz.

Ini kerana pada hemat beliau, pemain UM Damansara itu bijak menghidu peluang untuk meletakkan bola dalam gawang pasukan utara tanah air itu.

Gol Wan Kuzri yang dimaksudkan Azmin Azram itu berlaku dalam saingan suku akhir kedua MFL Challenge Cup antara kedua-dua pasukan itu baru-baru ini.

“Tapi ini kalau boleh saya katakan, Wan Kuzri sangat bijak untuk memperdayakan penjaga gol perak dengan sepakan percuma yang dia lakukan ini,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.

“Kerana kalau kita lihat, jarak antara bola dan benteng sebenarnya masih lagi jauh. Bukan di atas garisan, satu meter atau dua meter di depan garisan. Mungkin penjaga gol menyangkakan dia ada dua pilihan.

“Mungkin penjaga gol menyangkakan bola akan terus ke sini untuk menanduk. Dan sebaliknya, Wan Kuzri memperdayakan penjaga gol dengan satu sepakan yang mana dia tidak menjangka di sudut belah kiri dengan satu sepakan yang cukup baik.”

UM Damansara mengucapkan selamat tinggal kepada MFL Challenge Cup apabila tewas 3-2 secara agregat.

Sejak menyertai kelab itu secara pinjaman dari Negeri Sembilan FC, Wan Kuzri sudah meledakkan tiga gol setakat ini.