Jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berharap dapat meraih kemenangan ke atas kelab Filipina, Stallion Laguna esok.
Ini kerana kemenangan dalam perlawanan keempat Kumpulan G esok meletakkan skuad Peteh dalam kedudukan baik untuk layak ke pusingan seterusnya.
Selain itu, ini bakal memudahkan perancangan Steinbruckner bila menghadapi baki dua perlawanan kumpulan masing-masing menentang Bali United dan Central Coast Mariners.
“Anda tahu jika kita mahu mara ke pusingan seterusnya, kita perlu menang esok. Kerana selepas itu kita akan bermain satu lagi perlawanan dengan Bali United dan perlawanan di tempat lawan dengan pasukan Australia (Central Coast Mariners).
“Kita tahu dalam perlawanan pertama, kita berjaya mengalahkan pasukan Australia. Tapi saya tahu kualiti yang dimiliki pasukan mereka.
“Kita berada pada kedudukan baik dan kita masih lagi kekal tanpa kalah. Jadi, kita berharap esok kita dapat lanjutkan lagi rekod dan rebut peluang itu,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan hari ini seperti dilaporkan TFC TV.
Terengganu berharap dapat mengelak diikat 2-2 seperti yang dialami di Kuala Terengganu beberapa minggu lepas. Skuad Penyu berdepan The Stallions di Stadium Bola Sepak Binan esok.