Keceriaan Terengganu mara ke separuh akhir Piala FA 2023 pada Sabtu lepas sedikit tercalar. Ini selepas pemain sayap muda, Syafik Ismail dilaporkan mengalami kecederaan ligamen anterior krusiat (ACL) dalam perlawanan tersebut.
Sebelum itu, Syafik, 23, menceriakan penyokong skuad Peteh dengan meledakkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-82. Ia terhasil menerusi satu rembatan lencong dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Kelantan, Nik Mohd Amin Ahmad.
Tetapi beberapa minit selepas itu, tempoh Syafik sebagai pemain gantian berakhir dengan dia diusung keluar selepas mengalami kecederaan. Dengan kecederaan ACL yang dialaminya, Syafik terpaksa melupakan baki kempen Liga Malaysia (Liga M) musim 2023.
“Kemenangan keatas Kelantan FC terpaksa dibayar dengan harga yang agak mahal apabila salah seorang penjaring, Syafik Ismail yang mengalami kecederaan pada bahagian lutut semalam telah disahkan mengalami kecederaan ACL (Completed Tear).
“Beliau dijangka terlepas untuk beraksi bagi kesemua pertandingan pada musim ini bersama pasukan Terengganu FC. Diharapkan Syafik kuatkan semangat untuk kembali sembuh! Sama-sama kita berikan kata-kata semangat dan doa untuk Syafik!” kata pihak pengurusan dalam satu kenyataan di laman media sosial rasmi mereka semalam.
Hal ini turut disahkan sendiri Syafik di Instagram bila ditanya status kecederaannya oleh pengulas perlawanan Astro Arena, Wan Khairil Azwa. Bagaimanapun, dia menyifatkan kecederaannya itu sebagai satu ujian Allah buat dirinya.
Di media sosial, ramai pengguna media sosial terutama rakan-rakan sepasukannya bersimpati dengan apa yang berlaku dan mendoakan agar Syafik kembali pulih. Antara yang berbuat demikian ialah Liridon Krasniqi, Omid Nazari dan bekas jeneral tengah Peteh yang kini beraksi dengan Kedah, Manuel Ott.