Terengganu Menentang JDT Tanpa Tonggak Utama

Faisal Halim 14 Terengganu Menentang JDT Tanpa Tonggak Utama
Terengganu FC
Nabil Fahmi @nabilfamy
4:56pm 09/08/2022

Perlawanan Liga Super yang menemukan pasukan Terengganu FC yang melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) esok pasti menjadi perhatian ramai peminat bola sepak tanah air.

Ianya bukan sekadar aksi Liga Super namun ianya seperti pra perlawanan akhir Piala FA yang turut menemukan kedua-dua pasukan ini.

Namun begitu, kem Terengganu mendapat berita kurang enak apabila beberapa pemain pemain utama mereka mengalami kecederaan. Perkara ini disahkan sendiri oleh pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain.

“Persiapan kita pastilah sedikit terjejas kerana pemain utama seperti pemain sayap lincah, Mohd Faisal Abdul Halim, penyerang import, Kipre Tchetche, pemain tengah import, Manuel Ott dan Muhammad Faiz Mohd Nasir alami kecederaan serta demam.

“Oleh itu kita terpaksa lakukan rombakan dan beberapa pertukaran dengan memasukkan pemain skuad kedua untuk perlawanan menentang kelab Harimau Selatan, esok,” katanya ketika ditemui Bernama semalam.

Dalam masa yang sama, Nafuzi berharap para penyokong Terengganu dapat memenuhi stadium untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangan mereka sekali gus dapat mencipta keputusan positif esok.

“Kami juga mengharapkan kehadiran peminat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) untuk memberikan sokongan padu seperti semasa perlawanan menentang Selangor FC Sabtu lalu,” katanya lagi.