Previu : Pertemuan Semula Dua Jeneral Tengah di Gong Badak
Liga Super
Advertisements

Setelah Liga Malaysia 2020 membuka tirainya semalam, 5 perlawanan Liga Super turut akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad dengan tumpuan lebih terarah kepada perlawanan Terengganu-Perak dan Pahang-Selangor. Perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak lebih menarik dengan kehadiran dua bekas pemain kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pemain tersebut ialah Nasir Basharuddin (Terengganu) dan Theirry Chanta Bin (Perak). Mereka pernah bertemu sebagai pemain bekas pasukan masing-masing pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 tetapi mereka bakal bertemu dengan jersi pasukan yang berbeza kali ini.

Pendekatan Jurulatih

Mehmet Durakovic dan Nafuzi Zain merupakan dua individu yang cukup berbeza. Dari segi pengalaman dan pencapaian, Mehmet Durakovic jauh lebih baik dengan kejayaannya membawa Perak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018 dan Piala FA 2019.

Advertisements

Dari segi pendekatan taktikal, Nafuzi Zain seorang jurulatih yang lebih moden dengan corak permainan ‘play from the back’ sebelum membina serangan pantas ke hadapan. Mehmet pula merupakan seorang jurulatih tipikal; beliau suka bermain secara ‘direct’ dengan bahagian tengah menjadi kekuatan utama pasukan.

Tidak pasti berkenaan pemilihan formasi asas Nafuzi Zain untuk Terengganu musim ini tetapi Mehmet sudah pasti mengekalkan formasi 4-4-2 sebagai asas kepada sistem yang digunapakainya ketika ini. Pendek kata, Nafuzi dan Mehmet merupakan simbolik kepada jurulatih moden dan jurulatih tipikal/tradisional.

Pemain Tumpuan

Bagi Terengganu, pemain tumpuan mereka musim ini sudah pasti Dominique Da Sylva. Pemain kelahiran Nouakchott, Mauritania ini sudah menjaringkan 13 gol dalam 6 perlawanan pra-musim mereka di Kemboja, Thailand dan di Malaysia sendiri.

Advertisements

Selain itu, Babacar Diallo turut menjadi tumpuan peminat Terengganu musim ini kerana gaya permainannya menyerupai Herold Goulon (Pahang). Pemain berketinggian 1.93 meter ini sudah pasti akan merencatkan permainan ‘direct’ Perak dan menyukarkan tugas duo penyerang pasukan itu.

Bagi Perak, pemain tumpuan musim ini agak berbeza dengan penyerang kebangsaan, Shahrel Fikri diletakkan harapan sebagai pencabar anugerah penjaring terbanyak tempatan musim ini. Hal ini sejurus keupayaan bekas penyerang Nakhon Ratchasima itu menjaringkan 5 gol dalam 3 aksi perlawanan pra-musim Perak.

Antony Golec juga diletakkan sebagai pemain tumpuan musim ini kerana menggalas posisi yang sangat kritikal; bek tengah. Antony Golec perlu membuktikan bahawa dia mampu menjadi lebih baik berbanding dua rakan senegaranya, Rob Cornthwaite dan Zac Anderson dan memikat hati peminat Perak secara total.

Advertisements
Status Kecederaan

Kem Terengganu menerima khabar kurang baik apabila 3 pemain mereka disahkan cedera menjelang aksi bertemu Perak. Mereka ialah Wan Amirzafran dan Stuart Wark di bahagian pertahanan serta Sharin Sapien di bahagian tengah.

Walaupun begitu, Nafuzi Zain nyata tidak gusar kerana memiliki barisan pemain yang boleh menggalas tugas 3 pemain tersebut. Terengganu juga mempunyai beberapa pemain muda yang berpotensi besar untuk menggantikan pemain sedia ada.

Perak pula mungkin perlu bergantung kepada penjaga gol ke-3, Nasrullah Abd. Aziz setelah Hafizul Hakim dan Khairul Amri masih mengalami kecederaan. Biarpun begitu, Nasrullah Abd. Aziz dijangka akan menggalas tugas tersebut sebaik mungkin selepas mempamerkan aksi cemerlang pada perlawanan Unity Shield, 15 Februari lalu.

Advertisements

Status kecederaan Amirul Azhan juga masih menjadi tanda tanya selepas pemain tersebut dibawa keluar awal pada perlawanan Unity Shield yang lalu. Namun, Amirul Azhan dijangka sudah sembuh dan akan bermain pada malam Sabtu ini.

Rumusan

Perlawanan di Gong Badak dijangka lebih hangat dengan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin akan dipenuhi peminat Terengganu dan Perak. 3 mata pertama menjadi buruan kedua-dua pasukan bagi memulakan kempen Liga Super 2020 dengan langkah kanan.

Saksikan video promo perlawanan yang telah disediakan oleh Terengganu FC :

https://web.facebook.com/footballclubterengganu/videos/199516174661038/

Kredit foto dan video : Terengganu Football Club

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram