Pasukan Pantai Timur, Kelantan FC mengumumkan telah menarik diri daripada menyertai saingan Liga A1 Semi Pro musim 2024/25.
Pengumuman ini dibuat sendiri oleh pemilik pasukan itu, Norizam Tukiman menerusi satu hantaran di platform media sosial pasukan itu.
Norizam yang turut dikenali dengan panggilan Zamsaham memaklumkan meskipun ini satu keputusan yang berat buat Kelantan, ia terpaksa dilakukan atas dua sebab.
Pertama, The Red Warriors ingin menyelesaikan isu tunggakan gaji yang masih berbaki membabitkan pemain-pemain pada musim 2023.
Kedua, pasukan itu ingin menyelesaikan semua kes membabitkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Berdasarkan semakan terkini, Kelantan masih lagi dikenakan sekatan perpindahan FIFA.
“Kelantan FC dengan ini mengumumkan penarikan diri pasukan dari Liga A1 Semi Pro di bawah pertandingan MBSB Bank Championship 2024. Keputusan ini dibuat setelah beberapa penilaian dan pertimbangan teliti dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi pasukan.
“Terlebih dahulu, Kelantan FC ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Amateur Football League (AFL) di atas persetujuan dan penerimaan untuk pasukan Kelantan FC beraksi di Liga A1 Semi Pro di bawah pertandingan MBSB Bank Championship musim 2024.
“Walau bagaimanapun, selepas pertimbangan yang teliti, keutamaan pasukan ketika ini adalah untuk menyelesaikan terlebih dahulu isu dalaman pasukan seperti menyelesaikan baki gaji pemain musim lepas yang masih tertunggak serta menyelesaikan kes-kes FIFA bagi membersihkan nama baik pasukan Kelantan FC.
“Kami percaya, menyelesaikan kewajipan isu tunggakkan gaji adalah penting sebelum memulakan sebarang usaha baru.
“Oleh itu, dengan hati yang berat tetapi dengan rasa tanggungjawab yang jelas, Kelantan FC telah memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai pertandingan MBSB Bank Championship musim 2024.
“Kelantan FC dengan ikhlas memohon maaf atas sebarang kesulitan atau kekecewaan yang mungkin timbul kepada pihak AFL dan pihak berkepentingan.
“Kelantan FC juga ingin mengambil kesempatan ini memohon maaf kepada penyokong-penyokong pasukan TRW Kelantan FC di atas kegagalan pasukan beraksi cemerlang di dalam Liga Super musim 2023 serta tidak menyertai liga pada musim baru ini.
“Tanggungjawab dan niat pasukan adalah untuk menyelesaikan isu ini terlebih dahulu dengan segera sebelum Kelantan FC kembali menyertai liga bola sepak pada masa hadapan dalam keadaan yang lebih baik,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Dengan keputusan ini, ini menjadikan 15 pasukan liga yang akan bersaing dalam saingan Liga A1 Semi Pro musim ini. Saingan liga dijangka akan membuka tirainya pada bulan hadapan.