Advertisement
Tersingkir Awal, Jersi Kedah Jadi Bualan
Piala Malaysia
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) akhirnya terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Malaysia apabila ditunjukkan jalan keluar selepas tewas tipis kepada Perak FC secara agregat.

Walaupun berjaya menewaskan Perak dengan keputusan 2-1 semalam, ianya jelas sekali belum mencukupi buat mereka apabila Perak memenangi perlawanan aksi pertama di Stadium Negeri Perak dengan keputusan yang lebih besar iaitu 3-1 dan secara keseluruhan, Kedah tewas 4-3 secara agregat.

Dalam satu tinjauan di ruangan komen Facebook Makanbola, ada di kalangan penyokong yang mempersoalkan nasib jersi ketiga Kedah yang baru sahaja dilancarkan beberapa minggu lalu. Jersi tersebut merupakan jersi khas untuk saingan Piala Malaysia.

Ada di kalangan pengikut Makanbola yang mahu menjual jersi ketiga pasukan Kedah kerana hanya sempat dipakai sekali sahaja iaitu ketika perlawanan menentang Perak di Stadium Negeri Perak pada aksi pertama Piala Malaysia tempoh hari.

jersi kedah 2 Tersingkir Awal, Jersi Kedah Jadi Bualan
Jersi ketiga Kedah yang mahu dijual salah seorang pengikut Makanbola.

Dengan tersingkirnya Kedah dari saingan Piala Malaysia, Kedah kini bakal mengharungi saingan Piala Cabaran MFL yang baru diperkenalkan tahun ini. Piala Cabaran MFL diwujudkan bagi memberi peluang buat pasukan-pasukan yang tersingkir awal dari saingan Piala Malaysia bagi terus bersaing dalam aksi kompetitif.

Ini bermakna Kedah masih mempunyai dua saingan untuk dihabiskan musim ini iaitu saingan Liga Super di mana mereka kini berada di kedudukan ketiga liga dan saingan Piala Cabaran MFL yang masih belum bermula.