Pasukan Footgolf Malaysia selangkah untuk muncul sebagai juara Asia selepas menewaskan dua negara besar iaitu Korea dan Jepun.
Malaysia menghantar wakil bagi tiga kategori, Mens Open, Mens Seniors dan Womens Open yang tampil cemerlang untuk mara ke perlawanan akhir di Desaru pada Jumaat.
Bagi kategori Mens Open, pasukan negara bermula langkah kanan apabila melakar kemenangan besar 6-0 ke atas Korea Selatan pada perlawanan pertama.
Pada perlawanan kedua, skuad negara turun berdepan Jepun dan berjaya mencatat kemenangan kedua dengan keputusan 5-2 sebelum menundukkan Australia 5-1 dalam aksi ketiga.
China menjadi lawan terakhir pasukan Mens Open Malaysia dan skuad negara cemerlang mengekalkan rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan setelah menewaskan negara Tembok Besar itu 5-3.
Empat kemenangan yang direkodkan dalam aksi peringkat kumpulan ini sudah cukup untuk memastikan tempat skuad Malaysia ke final selaku juara kumpulan berdasarkan format Round Robin.
Di perlawanan akhir nanti, pasukan Mens Open negara akan bertemu Jepun sekali lagi pada 27 September 2024 di The Els Club, Desaru bagi aksi penentuan gelaran juara Asia.
Berita gembira turut dikongsikan skuad negara bagi kategori Mens Senior dan Womens apabila dua wakil Malaysia ini juga berjaya mara ke final berdepan Jepun pada Jumaat.