Buriram terus unggul sebagai pendahulu liga dan mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini. Ini selepas BG Pathum United tunduk 1-0 kepada Thunder Castle di Stadium BG, Pathum Thani hari ini.
Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan seimbang. Tetapi Buriram terlebih dahulu di hadapan menerusi bekas pemain Newcastle United, Haris Vuckic pada minit ke-11.
Bermula dari bek kanan dan kapten Narubadin Weerawatnodom di sebelah kanan, dia melorongkan bola kepada penyerang Slovenia itu. Vuckic kemudiannya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti tepat menuju ke penjuru atas gawang BG Pathum yang dikawal penjaga gol Kittipong Phuthawchueak.
Tujuh minit selepas itu, tuan rumah menyangka telah menyamakan kedudukan pada minit ke-18. Tetapi selepas diperiksa oleh VAR, gol tersebut dibatalkan akibat ofsaid.
Ini mendorong jentera serangan The Rabbits diketuai penyerang berbisa Thailand, Teerasil Dangda terus memburu gol penyamaan. Bagaimanapun, pertahanan Buriram diketuai bek tengah Harimau Malaya, Dion Cools kental mempertahankan keputusan 1-0 sehingga rehat.
Separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha memburu gol. Tetapi tuan rumah sekali lagi hampa apabila dibolosi buat kali kedua menerusi Suphanat Mueanta pada minit ke-71.
Selepas menerima hantaran Goran Causic, Suphanat menggelecek beberapa orang pemain pertahanan The Rabbits sebelum melepaskan rembatan menewaskan Kittipong.
Bimbang dibolosi lagi, jurulatih BG Pathum Matt Smith memasukkan Irfan Fandi dan Apisit Sorada bagi memantapkan pertahanan. Tuan rumah berusaha mendapatkan gol bagi merapatkan jurang tetapi Cools dan barisan pertahanan Buriram memastikan mereka pulang dengan tiga mata tanpa dibolosi.
Dengan kejayaan ini, Thunder Castle mengukuhkan cengkaman di puncak liga dengan 48 mata dengan The Rabbits pula berada di tangga ketujuh.
Selepas ini, BG Pathum bakal menentang Lamphun Warrior pada 11 Februari. Manakala Buriram pula berkunjung ke Muanthong United pada 12 Februari.