Semangat tak putus asa yang dimiliki pendahulu Thai League 1, Buriram United menjadi pendorong untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka. Ini terbukti selepas mereka berjaya mengikat musuh ketat mereka, Muangthong United 4-4 biarpun satu ketika ketinggalan 4-1.
Walaupun diperkuat ramai pemain berbakat termasuk Theerathon Bunmathan, Cools dan Suphanat Muenta, Muangthong bukan saja tidak gerun. Malah, mereka terlebih dahulu membuka jaringan menerusi pemain sayap Kenya, Eric Johana Omondi pada minit ketiga.
Tersentak, pasukan pelawat cuba bangkit memburu gol penyamaan. Malangnya, mereka dibolosi lagi buat kali kedua menerusi penyerang Thailand, Poramet Arjvirai pada minit ke-12. Omondi menambah derita Buriram menerusi gol jarak jauh pada minit ke-31.
Tatkala tuan rumah ceria mendahului, Buriram kembali merapatkan kedudukan menerusi Suphanat pada minit ke-37. Segar daripada latihan bersama Leicester City, pemain muda itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan Patiwat Khammai. Keputusan 3-1 kekal sehingga rehat.
Selepas rehat, hasrat Thunder Castle untuk bangkit mengejar gol penyamaan tidak kesampaian. Ini selepas Omondi merekodkan hatrik menerusi gol ketiga pada minit ke-48.
Seakan tidak mahu rekod tanpa kalah mereka musnah di Stadium Thunderdome, Thunder Castle terus memburu gol. Hasilnya, tandukan Lonsana Doumbouya (minit ke-79) dan sepakan percuma Theerathon (minit ke-84) menjadikan kedudukan perlawanan 4-3.
Dengan perlawanan memasuki minit akhir, pasukan pelawat terus menggandakan asakan. Dan usaha mereka membuahkan hasil menerusi sepakan kencang Doumbouya pada minit ke-93. Keputusan 4-4 kekal sehingga tamat perlawanan.
Selepas ini, Buriram bakal melayan kunjungan Police Tero pada 18 Februari. Manakala Muangthong pula perlu bersedia menghadapi amarah pasukan yang menduduki tempat ketiga, Chonburi pada 19 Februari.