Advertisement
Thai League 1: Kecemerlangan Dion Cools Bantu Buriram United Tewaskan PT Prachuap
Asia Tenggara
MakanBola
Buriram United

Ketenangan Dion Cools mengepalai pertahanan Buriram United membantu kelab itu melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas PT Prachuap dalam perlawanan Thai League 1 hari ini. Kemenangan ini turut membantu Thunder Castle mengekalkan rekod tanpa kalah dalam liga musim ini.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan. Ini disebabkan tuan rumah berusaha mengekang jentera serangan Buriram diketuai Haris Vuckic dan Lassana Doumbouya daripada membolosi gawang mereka.

Tetapi usaha mereka akhirnya sia-sia pada separuh masa kedua. Pada minit ke-51, hantaran Vuckic kepada Suphanat Muenta dalam kotak penalti mengakibatkan kapten PT Prachuap, Nattapon Malapun menjatuhkannya.

Pada awalnya, pengadil hanya membiarkan saja insiden tersebut dan meneruskan perlawanan. Tetapi selepas disemak VAR, Buriram diberi sepakan penalti yang mudah disempurnakan Doumbouya menewaskan penjaga gol Kwanchai Suklom.

Disebabkan insiden itu juga, Nattapon turut dibuang padang oleh pengadil sekaligus memaksa The Killer Wasps beraksi dengan 10 orang pemain.

Tuan rumah cuba bangkit tetapi pasukan pelawat terus mengawal perlawanan bagi membolehkan mereka pulang dengan tiga mata.