Pasukan Liga Thailand, Ratchaburi FC hari ini mengalami sesuatu yang mendukacitakan apabila tewas mengejut kepada Police Tero.
Skuad The Dragons menurunkan kesebelasan utama pasukan dengan misi untuk mendapatkan tiga mata penuh.
Beraksi di gelanggang lawan, anak didik Xavi Moro datang dengan pelbagai usaha dengan jentera serangan yang diketuai oleh Sittichok tidak berjaya menghasilkan sesuatu pada babak pertama.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah tampil lebih garang setelah mengurangkan asakan selepas 30 minit pertama permainan.
Hasilnya, percubaan demi percubaan yang dilakukan akhirnya menerjah jaring pada minit ke-72 menerusi rembatan deras Nattawut.
Kemasukan bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid pada babak kedua masih tidak mencukupi untuk membantu pasukan meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Keputusan ini menyaksikan Ratchaburi kekal dengan 34 mata selepas 19 perlawanan.