Thailand terpaksa menelan kepahitan apabila diikat Laos 1-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa kedua di Stadium Thammasat.
Skuad Gajah Perang berharap dapat meraih kemenangan selepas diikat Lubnan tanpa jaringan pada 14 November lalu. Manakala Laos pula memburu kemenangan pertama buat jurulatih Korea Selatan, Ha Hyeok-jun.
Jurulatih Thailand, Masatada Ishii membuat 10 pertukaran dengan Teerasak Poeiphimai sebagai peledak utama. Manakala Hyeok-jun pula memilih kapten, Bounphachan Bounkong sebagai sandaran gol Laos.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pendahuluan di Stadium Thammasat.
Kesungguhan jentera serangan Thailand memburu gol memaksa barisan pertahanan Million Elephants diketuai Sengdaovee Hunthavong bekerja keras mematahkan setiap percubaan.
Percubaan terbaik Thailand hadir menerusi percubaan jarak dekat William Weidersjo pada minit ke-38. Malangnya, percubaan pemain tengah Uthai Thani itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol, Xaysavath Souvanhansok.
Laos hampir meraih gol pendahuluan menerusi Bounphachan pada minit ke-45 tetapi dinafikan penjaga gol Thailand, Korrakot Pipatnadda. Sementara cubaan susulan Damoth Thomkhamsavath pula hanya melepasi palang.
Kedua-dua pasukan terus berusaha mendapatkan gol tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Thailand terus memberi tekanan ke atas kubu pertahanan Laos untuk membuka tirai jaringan.
Gol yang dicari skuad Gajah Perang akhirnya hadir pada minit ke-60 menerusi Seksan Ratree. Pemain tengah muda Buriram United itu melepaskan rembatan deras yang menewaskan Xaysavath.
Gol tersebut turut memberi keyakinan kepada Ishii untuk membuat tiga pertukaran pemain. Ini termasuk bekas penyerang OH Leuven, Suphanat Mueanta.
Thailand hampir menambah jaringan menerusi Worachit Kanitsribampen pada minit ke-66. Pemain tengah menyerang Port FC itu hampa apabila rembatannya sekadar singgah di palang.
Tatkala Gajah Perang terus mengasak, Laos menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu menerusi Bouphachan. Penyerang Svay Rieng itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan Korrakot.
Tersentak, Thailand terus meningkatkan serangan untuk memburu gol kemenangan. Pansa Hemviboon hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-83 tetapi tandukannya tersasar.
Hyeok-jun kemudiannya terpaksa mengeluarkan Bouphachan selepas kapten pasukan berusia 23 tahun itu mengalami kecederaan. Penyerang Svay Rieng itu digantikan oleh pemain pertahanan, Xayasith Singsavang.
Asakan demi asakan terus menghujani benteng pertahanan Laos tetapi keputusan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan. Ini satu keputusan yang baik buat Million Elephants selepas tewas 3-1 kepada Harimau Malaya pada 14 November lalu.
Sofascore memilih Weidersjo sebagai pemain terbaik perlawanan. Pemain berdarah Thai-Sweden itu meraih 7.9 mata, 0.1 mata di hadapan Seksan.
Aksi persahabatan ini merupakan aksi terakhir buat kedua-dua pasukan sebelum mengharungi ASEAN Championship 2024 yang membuka tirainya pada Disember ini.