Thailand Hampir Berpeluh Sebelum Belasah Brunei
Piala AFF
Piala AFF Mitsubishi Electric
Advertisements

Thailand menepati ramalan sebagai pasukan pilihan Piala AFF 2022 selepas membelasah Brunei 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan B di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras hari ini.

Sebaik sepak mula, pasukan Gajah Perang mula mengasak Sang Tebuan. Dan Thailand hampir mendahului seawal minit ketiga menerusi tandukan penyerang Muangthong United, Adisak Kraisorn. Bagaimanapun, penyerang yang dikaitkan dengan pasukan Terengganu itu kecewa apabila tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Brunei, Haimie Abdullah Nyaring.

Skuad Tebuan yang dibimbing Mario Rivera Campesino yang dianggap pasukan bukan pilihan kental bertahan menerima asakan Gajah Perang. Dengan setiap pemain Brunei bertahan secara kolektif dan sekali-sekala naik melancarkan serangan, anak-anak buah Mano Polking berdepan kesukaran meruntuhkan kekebalan pertahanan Brunei itu.

Advertisements

Asakan bertubi-tubi Thailand akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-21. Gandingan Kraisorn dengan Teerasil Dangda mencetuskan huru-hara dalam kalangan pertahanan Brunei hingga gagal mengeluarkan hantaran mudah dalam kotak penalti mereka. Hantaran tersebut mudah disempurnakan pemain sayap Port, Bordin Phala untuk gol pertama perlawanan.

Selepas mendapat gol pertama, skuad bimbingan Polking terus bernafsu memburu gol kedua. Dan mereka hampir mendapatnya menerusi larian Phala ke kotak penalti Brunei pada minit ke-30. Bagaimanapun, hantarannya gagal sampai kepada Kraisorn dan berjaya dikeluarkan oleh pemain-pemain pertahanan Brunei.

Beberapa minit selepas itu, Krasorn pula menguji kecekapan Haimie menerusi satu rembatan kencang selepas menerima hantaran Phala. Bagaimanapun, sepakannya itu berjaya ditangkap kemas penjaga gol DPMM FC itu. Phala kemudiannya menguji Haimie lagi pada minit ke-33 selepas berjaya melepasi pertahanan Tebuan tetapi bola percubaannya ditangkap Haimie.

Advertisements

Menjelang minit akhir perlawanan, Dangda kecewa apabila rembatannya hanya melepasi bahagian tepi gol. Sementara Phala pula sekali lagi dinafikan Haimie apabila rembatannya berjaya ditepis penjaga gol DPMM FC itu.

Tetapi gawang Haimie bolos lagi apabila Dangda mudah menanduk hantaran kapten Theerathon Bunmathan melepasi jangkauannya untuk gol kedua juara bertahan Piala AFF itu. Gol tersebut juga merupakan gol ke-20 penyerang BG Pathum United itu dalam Piala AFF. Keputusan 2-0 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, Polking memasukkan Poramet Arjvirai menggantikan Kraisorn bagi menambah sengat di bahagian serangan Gajah Perang. Thailand kemudiannya dianugerahkan sepakan percuma dari luar kotak penalti Brunei pada minit ke-48. Bagaimanapun, sepakan yang diambil Phala langsung tidak mencemaskan Haimie.

Advertisements

Beberapa minit selepas itu, gerakan cantik Phala mencipta umpanan kepada pemain sayap Muangthong United, Ekanit Panya. Bagaimanapun, rembatan derasnya berjaya ditepis keluar penjaga gol DPMM FC itu. Sepakan sudut susulan menghasilkan percubaan jarak jauh Gajah Perang dari luar kotak penalti tetapi ditangkap kemas oleh Haimie.

Thailand hampir menambah jaringan ketiga menerusi Arjvirai selepas menerima sungkitan bola dari bahagian tengah pada minit ke-56. Bagaimanapun, lariannya ke arah pintu gol Tebuan berjaya disekat oleh Haimie. Sepakan sudut susulan Thailand hampir membawa kepada gerakan pantas Hakeme Yazid Said tetapi bola berjaya ditangkap kemas Kittipong Phuthawchueak.

Walaupun sudah berusia 34 tahun, Dangda terus berbisa sebagai penyerang utama Gajah Perang. Dan dia hampir menambah gol keduanya dalam Piala AFF 2022 menerusi satu rembatan deras beberapa minit selepas itu tetapi berjaya dinafikan Haimie. Bunmathan sekali lagi cuba mengulangi taktik separuh masa pertama dengan menghantar bola kepada Dangda yang berlari di belakang pertahanan Brunei pada minit ke-67. Tetapi bekas penyerang Almeria itu kecewa apabila tandukannya mudah diselamatkan Haimie.

Advertisements

Rakan gandingannya di bahagian serangan, Arvirai terus kempunan mendapatkan gol pertama bersama Gajah Perang. Ini selepas percubaan derasnya pada minit ke-70 berjaya dinafikan dan ditangkap Haimie. Sementara sepakan jarak jauh bek kanan Suphanan Bureerat pada minit ke-78 berjaya dinafikan penjaga gol DPMM FC itu.

Melihat barisan serangan Gajah Perang tiada idea menembusi Haimie, Polking memasukkan Peeradol Chamratsamee dan Channarong Promsrikaew pada minit ke-80. Kemasukan dua pemain ini di bahagian tengah membawa kepada percubaan jarak jauh Chamratsamee pada minit ke-85 tetapi percubaannya tinggi melepasi palang.

Usaha keras Thailand akhirnya berhasil pada minit ke-89 menerusi gol sendiri Yura Indera Putera Yunos. Ini selepas percubaan Arjvirai yang ditepis Haimie terkena kepala Yura Indera yang tertanduk ke gawang sendiri.

Seminit selepas itu, Chamratsamee menyumbat gol keempat menerusi sepakan penalti selepas Yura Indera menjatuhkan Sasalak Haiprakhon dalam kotak penalti. Dan pada minit ke-93, pemain tengah Buriram United itu menyumbat gol kelima Gajah Perang menerusi satu rembatan jarak jauh menewaskan Haimie.

Dengan kemenangan ini, Thailand menduduki tangga pertama Kumpulan B dengan kelebihan jaringan yang besar di hadapan Kemboja. Brunei bakal berdepan Filipina untuk perlawanan Kumpulan B seterusnya pada 23 Disember. Manakala Thailand pula berdepan lawan yang sama di gelanggang sendiri pada 26 Disember.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram