Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia melakar satu lagi kemenangan penting bagi meneruskan perjalan di Thailand Open setelah menundukkan pemain China, Lu Guang Zu.
Setelah berjaya menumpaskan wakil Korea Selatan semalam, Zii Jia turun pada aksi suku akhir ini dengan misi mara lebih jauh selain membalas dendam kekalahan di tangan Guang Zu di Malaysia Open yang lalu.
Meskipun tewas dalam pertemuan terakhir, Zii Jia masih mengungguli rekod head-to-head apabila mencatatkan empat kemenangan dalam enam aksi menentang Guang Zu.
Aksi di set pertama bermula sedikit perlahan namun Zii Jia pantas mendapat rentak untuk meninggalkan lawannya itu dari kedudukan 3-2 kepada 8-3 sebelum interval.
Selepas interval, permainan kembali sengit dengan Guang Zu cuba meningkatkan tempo permainan sebelum Zii Jia kekal tenang untuk mengutip mata-mata mudah dan mendahului selesa 18-12 pada suatu ketika.
Set pertama akhirnya menjadi milik wakil negara setelah mencatatkan kemenangan 21-13.
Bersambung set kedua, pemain China ini seakan mendapat formula untuk menyekat Zii Jia apabila memimpin permainan 5-0 di awal aksi.
Walau bagaimanapun, ini tidak mematahkan semangat anak jati Kedah ini untuk mengejar mata Guang Zu sehingga kedudukan kembali rapat sebelum interval.
Selepas itu, giliran Zii Jia pula meningkatkan tempo untuk merapatkan jurang, akan tetapi Guang Zu kekal fokus dan berjaya memenangi set kedua dengan keputusan 21-16 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Permainan di set ketiga menyaksikan kedua-dua bermula dengan penuh berhati-hati sehingga menyebabkan beberapa kesilapan mudah dilakukan.
Servis kerap bertukar tangan sekaligus menyaksikan pemain China, Lu Guang Zu mendahului Zii Jia ketika interval dengan keputusan tipis 11-9.
Pemain di ranking ke-10 dunia itu tidak mengalah dan terus mengasak Guang Zu dengan beberapa siri serangan bagi mendapatkan mata untuk memotong kedudukan lawan.
Pada suatu ketika, permainan terikat 16-16 sebelum Zii Jia menoktahkan kemenangan 21-18.
Aksi di gelanggang satu tamat, wakil tunggal perseorangan negara, Lee Zii Jia menang dengan keputusan 21-13, 16-21, 21-18.
Kemenangan ini membawa Zii Jia lolos ke peringkat separuh akhir Thailand Open pada Sabtu sekaligus menempah pertemuan menentang sama ada jaguh Jepun, Kodai Naraoka atau wakil Chinese Taipei, Chou Tien Chen.