Skuad bola sepak Malaysia Bawah 22 tahun bakal meneruskan misi mengejar ibu segala pingat di temasya Sukan Sea Kemboja apabila dijadualkan bertemu Thailand dalam aksi yang dijadualkan berlangsung 5 petang ini.
Kedua-dua pasukan telah pun berjaya memenangi perlawanan pertama masing-masing dengan Malaysia berjaya membelasah Laos 5-1 manakala Thailand pula menundukkan Singapura 3-1.
Menjelang perlawanan penting petang ini, jurulatih Thailand, Issara Sritaro mengingatkan anak-anak buahnya supaya lebih berwaspada berbanding perlawanan menentang Singapura tempoh hari. Issara menganggap Malaysia sebuah pasukan yang kuat.
“Saya tidak menjangkakan satu perlawanan yang mudah berdepan Malaysia. Malaysia merupakan satu pasukan yang kuat. Mereka mempunyai pemain-pemain yang tinggi dan laju ketika melancarkan serangan balas.
“Saya telah memberitahu pemain-pemain bahawa mereka perlu lebih berhati-hati dan lebih fokus dalam perlawanan ini berbanding perlawanan pertama (menentang Singapura),” jelas pengendali Thailand berusia 43 tahun itu seperti dilaporkan Bangkok Post.
Kedua-dua pasukan ini terikat dengan mata yang sama dan Malaysia berada di tangga kedua kumpulan B selepas mencatatkan jumlah jaringan yang lebih daripada Thailand. Vietnam berada di tangga teratas kumpulan selepas mengumpul 6 mata hasil dua kemenangan.