Advertisement
FA Cup: Gol Dramatik Mitoma Bantu Brighton Kalahkan Liverpool
Dunia
MakanBola
Squawka

Hasrat Liverpool untuk menebus kehampaan dikecewakan Brighton beberapa minggu lepas di pusingan keempat FA Cup tidak kesampaian. Ini selepas Reds tewas tipis 2-1 kepada tuan di Stadium Amex hari ini.

Sebaik sepak mula, Reds mula mengasak Seagulls dan hampir mendahului pada minit keempat. Dengan penjaga gol tuan rumah Jason Steele berada di luar garisan, Mohamed Salah melepaskan satu rembatan ke arah gol. Tetapi bola berjaya disekat Lewis Dunk sebelum melintasi garisan gol.

11 minit selepas itu, Brighton pula dinafikan Reds daripada melakukan perkara sama. Selepas berjaya melepasi pertahanan Liverpool, penyerang muda Evan Ferguson menyepak bola hantaran Solly March ke arah gawang lawan yang dikawal Alisson.

Tetapi sebelum sempat bola melintasi gawang, ia berjaya disekat Trent Alexander-Arnold sebelum dikeluarkan dari kawasan mereka.

Kesungguhan Liverpool memburu gol pendahuluan terhasil pada minit ke-30 menerusi Harvey Elliott. Selepas menerima hantaran Salah, bekas pemain Fulham itu melepaskan rembatan ke arah gol Steele.

Walaupun bekas penjaga gol Blackburn Rovers itu berjaya menepisnya, ia tidak cukup untuk menghalang bola masuk tepat ke penjuru bawah gawang.

Bagaimanapun, kegembiraan anak-anak buah Jurgen Klopp tidak bertahan lama. Sembilan minit selepas itu, sepakan Tariq Lamptey dari jarak tujuh meter terkena kepala Dunk sebelum menembusi gawang Reds. Keputusan 1-1 kekal sehingga rehat.

Selepas rehat, kedua-dua pasukan saling menyerang bagi memburu gol kemenangan. Tetapi malangnya, jentera serangan kedua-dua pasukan dinafikan oleh kecekapan Alisson dan Steele.

Tetapi kesungguhan tuan rumah memburu gol kemenangan akhirnya berhasil menerusi pemain sayap Jepun, Kaoru Mitoma pada minit ke-92.

Pemain Jepun itu menerima hantaran Pervis Estupinan sebelum membuat dummy yang mengelirukan Joe Gomez sebelum menyepak bola terus ke bumbung atas gawang. Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Dengan kemenangan ini, Brighton mara ke pusingan seterusnya FA Cup. Sementara Liverpool yang juga juara bertahan pula tersingkir dari kejohanan.