Advertisement
“This Is For You Coach” – Nafuzi Terharu Kpah Sherman Tujukan Hatrik Buatnya
Dunia
MakanBola
Terengganu Football Club

Pastinya tiada hadiah hari jadi yang lebih istimewa dan lebih manis buat Nafuzi Zain!

Pengendali Terengganu itu, genap berusia 44 tahun pada Khamis, hari sama yang menyaksikan skuad bimbingannya berpesta membelasah Sri Pahang 5-1 di laman lawan dalam aksi pertama pusingan kedua Piala Malaysia.

“Ini hadiah dan kemenangan yang cukup berharga, pada hari jadi saya. Pemain pun hadiahkan kepada saya, Kpah juga tujukan hatrik jaringannya untuk saya, dia katakan Happy Birthday Coach, this is for you. Memang saya cukup terharu dengan kesemua pemain, terima kasih saya ucapkan,” ujar Nafuzi.

Tambahnya, pemain menterjemahkan dengan cukup baik perancangan dalam masa sama tidak menafikan kelonggaran pertahanan Sri Pahang yang tampak caca marba sepanjang perlawanan membantu pasukannya membawa pulang bekalan cukup selesa untuk aksi timbal balik.

“Memang game plan kita (dapatkan gol awal), kita tahu Pahang sebuah pasukan sangat baik apabila bermain di gelanggang sendiri, dan mereka pastinya mahu dapatkan jaringan.

“Kita tunggu momen yang sesuai untuk menyerang dan berjaya dapatkan dua gol awal permainan. Apa yang kita rancang menjadi dan ia memberi keyakinan moral kepada pemain.

“Di dalam bolasepak, perkara seperti ini (kepincangan pertahanan) akan berlaku kepada sesiapa sahaja, kita sendiri, mahupun pasukan lawan. Satu kesilapan, akan dihukum dan malam ini penyerang-penyerang kita semuanya berada dalam tahap terbaik, dapat peluang dan jaringkan gol. Kita manfaatkan peluang di awal permainan,” ujar Nafuzi lagi.

Nafuzi berkata, meskipun Kpah Sherman tidak diturunkan dalam dua perlawanan sebelum ini dan mendapat peluang beraksi berikutan kecederaan dialami Petrus Shitembi, dia tidak pernah meragui sentuhan pemain itu dan gembira penyerang dari Liberia itu membalas kepercayaan yang diberikan.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur itu, Terengganu hanya mengambil masa tiga minit untuk mendahului 2-0 menerusi jaringan minit pertama Kpah Sherman dan Nik Sharif Haseefy dua minit kemudian.

Faisal Halim meledak jaringan ketiga pada minit ke-47 sebelum Kpah menambah dua jaringan pada minit ke-51 dan 90 untuk melengkapkan kemenangan bergaya tatkala Sri Pahang mendapat jaringan tunggal menerusi Steven Rodriguez pada minit ke-42.

“Saya beritahu pemain supaya lupakan pencapaian kita di Liga Super ataupun Piala FA, fokus Piala Malaysia kerana pertandingan ini lagi besar. Tengok lah suasana pun cukup berbeza dengan liga. Saya minta mereka usah fikirkan perkara lain, cuba lepasi dulu halangan Sri Pahang, fokus game by game,” tambah Nafuzi lagi.