Advertisements
Tifo ‘Bebas Palestin’ Hiasi Aksi PSG & Atletico Madrid
UEFA Champions League
MakanBola
Leyla Hamed

Tifo ‘Bebas Palestin’ menghiasi aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) membabitkan Paris Saint-Germain (PSG) dan Atletico Madrid di Parc des Princes.

Akhbar Le Parisien melaporkan tifo tersebut dinaikkan 10 minit sebelum perlawanan bermula. Tifo ini turut diiringi dengan slogan ‘Bertarung di atas padang tetapi keamanan untuk dunia’.

Selain tifo berkenaan, ada penyokong PSG yang mengibarkan bendera Lubnan sebagai tanda solidariti bersama negara Timur Tengah itu. Gambar dan video tifo ‘Bebas Palestin’ mula tular di media sosial sejak beberapa jam lepas.

PSG dalam satu kenyataan memaklumkan mereka tiada kaitan dengan tifo berkenaan. Kelab gergasi Perancis itu turut memaklumkan mereka menolak penyiaran mesej politik di Parc des Princes dan melihat stadium tersebut sebagai tempat semua ahli komuniti berkumpul.

Tindakan penyokong menaikkan tifo pro-Palestin bakal mengakibatkan PSG dikenakan hukuman oleh Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA).

Sebelum ini, Glasgow Celtic pernah dihukum UEFA disebabkan tindakan kumpulan penyokong tegar mereka, The Green Brigade mengibarkan bendera Palestin di Parkhead.

Ini bukan kali pertama penyokong PSG menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin. Pada Oktober 2022, penyokong menaikkan kain sepanduk yang berbunyi ‘Gaza wujud, Gaza menentang, Bebas Palestin’.

Sepanduk itu dinaikkan dalam aksi UCL antara PSG dan kelab Israel, Maccabi Haifa. Aksi tersebut turut dikawal ketat 800 orang anggota polis.