Prestasi memberangsangkan tiga bintang sensasi Malaysia di Thailand terus mencuri tumpuan apabila berjaya memacu cabaran pasukan ke peringkat separuh akhir Thai League Cup.
Kapten Harimau Malaya, Safawi Rasid meneruskan permulaan cemerlang bersama Ratchaburi apabila membantu mereka menewaskan Samut Songkram dengan keputusan 2-1.
Beliau berjaya menjadi watak penting apabila menyumbang satu bantuan gol semalam.
Malah, prestasi sama turut dicatat oleh pertahanan kental Malaysia, Dion Cools yang kini menikmati detik indah sejak tiba di Thailand.
Beraksi buat pasukan gergasi Liga Thailand, Buriram United, bekas pertahanan Club Brugge ini jelas tidak menghampakan harapan para penyokong.
Cools terus mendapat kepercayaan jurulatih untuk berada dalam kesebelasan utama pasukan ketika membelasah Bangkok United, 0-3 semalam.
Setakat ini, pemain berusia 26 tahun ini telah mencatat dua aksi tanpa bolos berturut-turut sekaligus membuktikan keserasian beliau di sana.
Sebuah lagi pasukan yang diwakili oleh bintang Malaysia, Junior Eldstal juga mara ke separuh akhir apabila PT Prachuap menewaskan Lamphun Warrior.
Menurut penjelasan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon, Junior masih tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan selain baru sahaja menerima kehadiran cahaya mata baharu.
Bekas pertahanan JDT ini juga dijangka akan terus menembusi kesebelasan utama pasukan sekembalinya daripada kecederaan.
Ini juga bakal menghangatkan lagi pertembungan antara kedua-dua pasukan dalam misi mara ke pentas akhir kali ini.