Advertisement
Tiket Perlawanan Kelantan vs JDT Dijangka ‘Sold Out’ Cepat, Mula Dijual Serendah RM18
Dunia
MakanBola
TRW Kelantan FC

Perlawanan yang dinantikan-nantikan penyokong Kelantan akhirnya kunjung tiba apabila mereka bakal bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir Piala Malaysia 2022.

Selepas berjaya menewaskan Sarawak United 2-1 secara agregat, Kelantan dijadualkan bertemu pasukan terkuat di Liga Super, JDT yang berjaya menewaskan PJ City 6-0 secara agregat.

Menerusi hantaran terbaru pemilik Kelantan, Norizam Tukiman (Zamsaham), tiket akan mula dijual pada hari ini (Selasa) bermula jam 10.00 pagi pada kadar harga bermula RM18.

Pengumuman awal yang dibuat Zamsaham ini turut menerima pujian penyokong Kelantan yang kelihatan teruja untuk hadir menyaksikan perlawanan ini di Kota Bharu walaupun menyedari tugas sukar menanti pasukan kesayangan mereka itu.

“Tiket perlawanan TRW Kelantan menentang JDT bermula RM18.00 dibuka esok (Selasa) jam 10 pagi.
Tiket kanak-kanak RM5.00 dan orang kurang upaya (OKU) percuma. #beliawal,” tulis Zamsaham di Facebooknya.

JDT bakal bertandang ke Kota Bharu bertemu pasukan Kelantan pada Sabtu ini, 5 November 2022 jam 9.00 malam untuk pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia 2022.

Tiket dijangka mula dijual di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV bermula jam 10.00 pagi pada Selasa, 1 November 2022 dan penyokong dinasihatkan untuk membuat pembelian lebih awal untuk tidak melepaskan peluang keemasan ini.