DYAM TMJ, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim terima mengadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Ibu Pejabat Johor Darul Ta’zim (JDT) FC hari ini.
Pertemuan yang dikongsikan baginda di akaun media rasmi baginda ialah bagi membincangkan perkembangan terkini pemasangan rumput Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Ini selepas timbul kebimbangan SNBJ berkemungkinan tidak dapat digunakan sebagai venue Pestabola Merdeka 2023 yang bakal berlangsung pada Oktober ini sekiranya proses pemasangan gagal disiapkan.
FAM dalam satu kenyataan sebelum ini menjangkakan proses pemasangan rumput SNBJ bakal selesai pada penghujung Ogos ini.
Pada masa sama, badan induk bola sepak negara itu sudah mempunyai beberapa venue alternatif menggantikan SNBJ sekiranya proses pemasangan lewat diselesaikan.
Pada Mac lepas, Tunku Ismail mengumumkan penajaan kos pemasangan rumput baru SNBJ berjumlah RM1.4 juta menggunakan rumput Zeon Zoysia – rumput sama yang digunakan di stadium keramat JDT FC, Stadium Sultan Ibrahim.
Selain tajaan tersebut, baginda turut menitahkan pengurusan Harimau Selatan membantu Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bagi memastikan kualiti padang SNBJ layak untuk perlawanan bola sepak peringkat antarabangsa.