Selepas melakar kejayaan merangkul empat piala pada musim lepas, Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim tidak mahu berhenti setakat di situ saja. Sebaliknya, baginda berharap Johor Darul Ta’zim lebih cemerlang musim ini termasuk layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Sebelum ini, JDT sudah menunjukkan keupayaan bersaing di pentas ACL. Ini termasuklan pencapaian layak ke pusingan 16 pasukan terbaik musim lepas sebelum ditewaskan kelab Jepun, Urawa Red Diamonds 5-0.
Selepas membuktikan keupayaan mereka bersaing dengan kelab-kelab elit Asia lain, TMJ mahu Harimau Selatan maju setapak lagi dengan mara ke suku akhir. Objektif tersebut sememangnya sukar tetapi tidak mustahil untuk dicapai.
“Untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL), kami berharap dapat melepasi peringkat kumpulan kerana macam mana pun, saya tetap realistik dengan sasaran ACL disebabkan kualiti pasukan-pasukan yang bertanding dan mereka bertapak lebih lama daripada kita.
“Kami tetap projek yang lebih muda atau macam orang kata, projek yang lebih baru. Jadi, sasaran realistik ialah melepasi peringkat kumpulan atau kalau ada rezeki, kita dapat sampai ke suku akhir,” katanya dalam satu temubual bersama JDTTV hari ini.
Dalam keghairahan memburu pencapaian di peringkat Asia, TMJ mahu anak-anak buah Esteban Solari agar tidak lupa pencapaian domestik musim ini.
Ini termasuk memastikan pasukan sentiasa berada dalam kedudukan tiga teratas Liga Super dan memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk melayakkan JDT ke peringkat suku akhir atau separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.