Kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Man United terlepas peluang mendapatkan khidmat pemain sayap Belanda, Xavi Simons.
Sebelum ini, nama pemain sayap berusia 21 tahun itu dikaitkan dengan beberapa kelab besar termasuk The Red Devils. Ini susulan persembahan cemerlang Simons dalam EURO 2024.
Simons membantu Belanda mara ke separuh akhir EURO 2024 sebelum terpaksa akur dengan finalis kejohanan, England.
Khabar angin perpindahan ini semakin hangat diperkatakan apabila pengurus United, Erik ten Hag memuji persembahan pemain muda itu dalam aksi menentang England. Ini kerana Simons disifatkan memiliki kesungguhan untuk terus membantu Belanda berjuang di atas padang.
“Saya menikmati (persembahan) Xavi Simons dalam perlawanan itu (menentang England). Dorongan yang dia miliki, semangat yang beliau miliki untuk mengawal bola dan menganalisis situasi berada pada tahap yang terbaik.
“Semangat juangnya juga cukup besar. Itu hampir bukan sifat orang Belanda. Saya rasa anda dapat melihat bahawa dia dilatih di luar negara. Dia hampir mempunyai kecekalan bercirikan Eropah Selatan dalam permainan beliau,” katanya seperti yang dilaporkan The Mirror pada Julai lalu.
Walau bagaimanapun, hajat peminat United melihat Simons di Old Trafford tidak kesampaian. Ini kerana wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano mendedahkan pemain sayap Belanda itu memilih kembali ke RB Leipzig untuk tempoh pinjaman selama semusim.
Perpindahan ini bersifat pinjaman dengan tiada klausa pembelian disertakan sepanjang tempoh Simons bersama Leipzig.
United telah mendapatkan khidmat Leny Yoro dan Joshua Zirkzee untuk tetingkap perpindahan musim panas 2024/25. Susulan isu kecederaan yang membelenggu Yoro, kelab itu dijangka kembali berbelanja untuk mendapatkan pemain sokongan.