Tonggak JDT, Carlos Akapo Dipanggil Perkuat Equatorial Guinea
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Carlos Akapo dipanggil menyertai skuad kebangsaan Equatorial Guinea.

Portal Mofuen.com melaporkan Akapo antara empat pemain baharu yang dipanggil menggantikan empat pemain yang terpaksa disisihkan akibat beberapa isu.

Bekas pemain tengah Derby County, Omar Mascarell dan Luis Miguel Blasco terpaksa menolak panggilan kem atas sebab peribadi. Jose Elo dan Jose Nabil pula masing-masing digugurkan akibat masalah kecederaan dan isu dokumentasi.

Susulan itu, jurulatih Equatorial Guinea, Vincenzo Alberto Annese memanggil Akapo, Federico Nguema, Alex Mansogo dan Salomón Obama sebagai pengganti.

Akapo bukan satu-satunya pemain yang berpangkalan di Asia Tenggara yang dipanggil Annese. Jurulatih Itali itu turut memanggil Esteban Obiang (Haiphong), Marvin Anieboh dan Alex Masogo (Tanjong Pagar United) serta Pablo Ganet (Persita Tangerang).

Equatorial Guinea dijadual bertemu Republik Demokratik Congo (DR Congo) pada 24 September dan Sierra Leone pada 28 September. Kedua-dua perlawanan ini merupakan perlawanan kelayakan Kejohanan Negara-Negara Afrika (AFCON) 2027.

Sebelum ini, Liga Malaysia (Liga M) juga pernah memiliki wakil beraksi untuk Equatorial Guinea. Pemain yang dimaksudkan ialah bekas pemain tengah Negeri Sembilan FC, Luis Fernando Nsue.

Sejak menyertai JDT musim ini, Akapo telah merekodkan lima penampilan dan satu gol setakat ini.