Tonggak tengah Singapura, Adam Swandi mengumumkan persaraan dari dunia bola sepak pada usia 28 tahun.
Keputusan tersebut diumumkan pemain tengah Lion City Sailors itu menerusi satu hantaran di media sosial. Adam berbuat demikian selepas beliau dikesan mengalami kardiomiopati iaitu sejenis masalah jantung.
Bekas pemain remaja FC Metz itu mengakui keputusan ini bukan sesuatu yang mudah. Pada masa sama, Adam cukup bertuah kerana dapat bermain bola sepak hingga ke tahap tertinggi bersama Singapura.
“Selama bertahun-tahun, saya bertuah kerana dapat merealisasikan impian saya dan bermain permainan indah yang saya cintai di peringkat tertinggi. Ia satu penghormatan untuk berkongsi bahagian hidup saya ini dengan anda semua.
“Tatkala saya menutup babak ini, rasa cinta saya kepada bola sepak dan memori yang saya cipta akan sentiasa mendapat tempat istimewa dalam hati saya,” katanya.
Kelab beliau, Lion City Sailors bersedia membantu Adam beradaptasi dengan kehidupan pasca-bola sepak.
“Personalitinya yang mesra dan ceria memberi impak positif kepada semua orang di sini. Dengan bakat yang dimiliki, kami merasa sedih kerana beliau perlu menamatkan kariernya dengan cara ini.
“Sebagai kelab, kami komited untuk memberi sokongan yang beliau perlukan bila beralih kepada perjalanan pasca-bola sepak dan kami harap beliau akan terus menyumbang kepada kelab dalam kapasiti lain,” kata pengerusi kelab, Forrest Li kepada The Straits Times.
Selain Lion City Sailors, beliau juga pernah beraksi untuk Albirex Niigata Singapura dan Young Lions. Adam turut merekodkan 22 penampilan dan dua gol buat Singapura di peringkat antarabangsa.