Satu lagi kerjasama dimeterai Malaysian Football League (MFL) bagi merancakkan perjalanan Liga Malaysia (Liga M). Hari ini, Kumpulan Touch ‘n Go menerusi TNG Digital Sdn Bhd bersetuju menjadikan Touch ‘n Go eWallet sebagai eWallet rasmi MFL untuk musim 2023.
Bagi meraikan kerjasama ini, penyokong-penyokong boleh membeli tiket di laman web www.tickethotline.com.my dengan membayar melalui Touch ‘n Go eWallet untuk mendapat pulangan tunai sebanyak RM5, bagi pembelian minimum sebanyak RM50.
Promosi khas ini bermula hari ini sehingga 31 Mac 2023 tertakluk kepada terma dan syarat. Dalam beberapa bulan akan datang, pengguna Touch ‘n Go eWallet boleh membeli tiket dan barangan MFL eksklusif secara terus melalui applikasi eWallet, tertakluk kepada terma dan syarat.
Bagi CEO TNG Digital Sdn Bhd, Alan Ni, kerjasama TNG Digital-MFL ini bersifat menang-menang dan mampu menguntungkan para penyokong yang bertandang ke stadium bagi memberi sokongan terhadap pasukan masing-masing.
“Sukan menjadi platform kepada orang ramai untuk bersatu apabila mereka menyokong pasukan kesayangan masing-masing.
“Sebagai eWallet pilihan nombor satu negara dan digunakan lebih 19 juta pengguna, Touch ‘n Go eWallet berbangga menjadi eWallet pilihan rakyat yang menyediakan keselamatan, transaksi tanpa tunai dan cara yang selesa kepada pencinta bola sepak untuk mendapatkan tiket perlawanan serta membeli makanan dan barangan lain di stadium.
“Ini kali pertama Touch ‘n Go eWallet menaja sukan bola sepak dan kita pasti kerjasama dengan MFL akan bersifat jangka panjang dan berterusan demi memberikan manfaat kepada bilangan pengguna yang semakin meningkat.
“Kami juga mahu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MFL kerana memilih Touch ‘n Go eWallet sebagai eWallet rasmi pilihan bagi Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala MFL, MFL Challenge Cup dan Piala Malaysia,” katanya.
Sentimen sama turut dikongsi CEO MFL, Stuart Ramalingam. Stuart menyifatkan kehadiran TNG Digital bakal menambah kemeriahan Liga M yang sedang berlangsung ketika ini.
“Ini satu kolobrasi yang sangat baik kerana ia memberikan satu dimensi baharu dalam penajaan Liga Malaysia yang kini bergerak ke arah satu perubahan demi kemajuaan semua kelab-kelab yang bertanding.
“Melalui aktiviti yang akan dirancang bersama Touch ‘n Go eWallet sepanjang musim ini, kami percaya penyokong dan kelab akan merasai pengalaman baharu yang menarik serta dapat mendekatkan diri mereka dengan produk-produk Touch ‘n Go eWallet,” katanya.