Tunku Ismail Dinobatkan Tokoh Kepimpinan Sukan SAM-100PLUS 2025
MakanBola
Johor Southern Tigers

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor telah dinobatkan sebagai Tokoh Kepimpinan Sukan Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.

Pengiktirafan itu diberi atas kejayaan baginda mengubah lanskap sukan Johor sehingga negeri itu muncul antara kuasa sukan paling berpengaruh di negara ini.

Kepimpinan Tunku Ismail turut mengangkat Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai jenama sukan paling berjaya dan berpengaruh di Malaysia.

Kejayaan itu dapat dilihat menerusi dominasi pasukan itu di peringkat domestik dan pencapaian di peringkat Asia. Selain muncul juara Piala AFC (kini Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2)) 2015, JDT juga berjaya mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim ini.

Selain pencapaian di atas padang, Tunku Ismail juga berjaya membina jenama JDT sebagai sebuah organisasi sukan moden dan bertaraf dunia menerusi pengurusan profesional, pemasaran strategik, pembangunan infrastruktur moden serta penggunaan teknologi dan sains sukan.

Penubuhan akademi bola sepak moden dan pembangunan kemudahan bertaraf antarabangsa di Johor turut menjadi asas penting dalam melahirkan bakat muda secara sistematik dan kompetitif.

Ini selaras dengan hasrat baginda yang mahu melihat Johor menjadi negeri contoh dalam melaksanakan agenda Negara Sukan menjelang 2030.

Selain bola sepak, Tunku Ismail juga fokus membantu pembangunan sukan lain di negeri Johor seperti badminton, bola jaring, sukan permotoran dan ragbi.

Ini terbukti dengan pembabitan ramai figura sukan terkenal dari dalam dan luar negara untuk Johor. Antaranya legenda badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei, Sonny Bill Williams dan Khabib Nurmagomedov.

Arena sukan permotoran saja menyaksikan JDT Racing Team muncul juara Asia Road Racing Championship (ARRC) untuk kategori Asian Superbike 1000 (ASB1000) musim 2025 menerusi Hafizh Syahrin Abdullah.

Naib Presiden SAM yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak menyifatkan anugerah ini sebagai penghargaan terhadap jasa besar Tunku Ismail terhadap sukan negeri Johor dan Malaysia.

“Penganugerahan Tokoh Kepimpinan Sukan itu mencerminkan penghargaan terhadap dedikasi, kepimpinan dan impak besar baginda dalam memperkasakan pembangunan sukan Johor serta mengangkat imej negeri berkenaan di persada antarabangsa,” katanya.

Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 diadakan di sebuah hotel di ibu negara pada 13 Mei ini dan dijangka dirasmikan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.