Komen daripada Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor buat bintang Selangor, Safuwan Baharudin menjadi tumpuan ramai.
Kepulangan Safuwan Baharudin ke pangkuan Selangor nyata memberi suntikan penting buat barisan pertahanan pasukan selepas pemain itu dipanggil pulang daripada tempoh pinjaman bersama Lion City Sailors pada awal musim ini.
Kehadiran semula tonggak pertahanan Singapura itu terus memberi impak positif apabila membantu Selangor mencatatkan kemenangan bergaya 5-2 ke atas DPMM dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Brunei pada Sabtu lalu.
Prestasi meyakinkan Safuwan turut menerima pujian daripada penyokong Selangor yang membanjiri ruangan komen di laman Instagram pemain berkenaan, rata-ratanya teruja dengan ketenangan, pengalaman serta kepimpinan yang dibawanya ke benteng pertahanan Merah Kuning.
Selain komen penyokong, satu komen daripada DYAM Tunku Ismail turut mencuri perhatian ramai apabila Baginda meninggalkan reaksi pada hantaran Safuwan.
“Satu piala in shaa Allah,” tulis DYAM Tunku Ismail bersama emoji Merah Kuning, satu kenyataan ringkas yang seolah-olah memberi bayangan bahawa Safuwan berpotensi menjulang trofi bersama Selangor musim ini.

Isyarat tersebut pastinya menambah keyakinan penyokong Merah Kuning, sekali gus menguatkan kepercayaan bahawa kehadiran Safuwan mampu memainkan peranan penting dalam misi Selangor memburu kejayaan musim ini.