Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail meluahkan rasa syukur dan teruja melihat pasukan Baginda melakar kejayaan di peringkat AFC Champions League Elite (ACLE).
Pada Selasa, JDT kembali ke laman sendiri bertemu Pohang Steelers dari Korea Selatan dengan misi penting meraih 3 mata sekaligus mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Pada aksi tersebut, Pohang terlebih dahulu di hadapan hasil tandukan Lee Ho-jae sebelum JDT bangkit merencana gerak dan menemui jaringan penyamaan menerusi Oscar Arribas.
4 jaringan di babak kedua masing-masing menerusi Bergson, Arif Aiman, Jese dan Jorge Obregon memastikan tempat JDT di pusingan 16 terbaik meski Pohang cuba merapatkan skor.
Kemenangan 5-2 JDT di Stadium Sultan Ibrahim di hadapan 34,590 peminat sendiri menyaksikan skuad Harimau Selatan kini menghuni kedudukan ke-4 untuk carta ACLE zon Timur.
Kejayaan ini turut mendapat reaksi dari DYAM Tunku Ismail yang turut hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dan mengucap rasa syuku ke hadrat ilahi melihat pencapaian JDT ketika ini.
“Sentiasa bersyukur atas nikmat daripada ALLAH SWT. Bangga dan gembira dengan pencapaian JDT FC. Penyokong juga sangat hebat,” ucap DYAM Tunku Ismail dalam satu hantaran.
Berdasarkan kedudukan ketika ini, JDT dijadualkan bertemu Gwangju di pusingan 16 terbaik nanti oleh kerana kelab dari Korea itu berada di tangga ke-5, di belakang skuad Harimau Selatan.
Ini selepas Gwangju hanya sekadar mengakhir pusingan liga ACLE dengan satu mata setelah terikat seri 2-2 menentang Buriram United dalam satu lagi perlawanan di laman sendiri.