Perlawanan menarik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi Rabu menyaksikan Bayer Leverkusen dibelasah oleh Liverpool.
Setelah hampir dikejutkan Brighton dalam saingan liga pada Sabtu, Liverpool turun ke Anfield melayani kunjungan juara Bundesliga, Bayer Leverkusen yang dibimbing bekas pemain The Reds, Xabi Alonso.
Kesebelasan utama Liverpool diketuai bek kental, Virgil Van Dijk dengan Mo Salah memimpin barisan serangan manakala bintang muda Jerman, Florian Wirtz menjadi taruhan Bayer Leverkusen.
Aksi di babak pertama berlangsung sedikit hambar tanpa sebarang jaringan dapat dihasilkan meskipun tuan rumah dilihat lebih banyak menguasai dan mendominasi permainan.
Leverkusen sesekali hadir mengancam kubu kuat Liverpool menerusi Alejandro Grimaldo dan Jeremie Frimpong namun dihalang oleh kekebalan barisan pertahanan The Reds.
Separuh masa pertama tamat, Liverpool 0-0 Bayer Leverkusen.
Babak kedua bermula menyaksikan Luis Diaz mencatat nama sebagai penjaring gol pertama di minit ke-61 sebelum Cody Gakpo menggandakan kelebihan dua minit berselang.
Pada minit ke-83, gawang Leverkusen terus dibolosi dengan bisa Luis Diaz yang meledak gol kedua peribadi dalam aksi ini yang juga jaringan ketiga buat pasukan tuan rumah.
Malam gemilang buat Liverpool dilengkapkan oleh jaringan hatrik Luis Diaz di masa tambahan untuk membolehkan The Reds berpesta jaringan atasi juara Bundesliga musim lalu itu.
Aksi di Stadium Anfield berakhir dengan keputusan 4-0 buat Liverpool.
Saingan minggu ke-5 UCL menyaksikan Liverpool berdepan tugas getir dengan menentang juara bertahan, Real Madrid sambil Bayer Leverkusen menanti kunjungan kelab senegara, RB Leipzeig.