Liverpool terpaksa akur gagal memperoleh kelebihan awal dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah (UCL) selepas tumpas di tangan Galatasaray pada awal pagi Rabu.
Kemenangan 1-0 diraih oleh Galatasaray selepas mempamer aksi ampuh untuk mempertahankan jaringan awal sekali gus membawa bekalan satu gol apabila berkunjung ke halaman lawan nanti.
Suasana menjadi riuh-rendah seawal minit ke-7 apabila tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan hasil tandukan Mario Lemina yang gagal diselamatkan oleh penjaga gawang Liverpool.
Seakan tersentak, Liverpool mula mengatur serangan dalam usaha untuk memburu jaringan penyamaan menerusi Florian Wirtz dan Mo Salah namun keputusan 1-0 ini kekal sehingga waktu rehat.
Galatasaray berpeluang untuk menambah kelebihan namun jaringan Victor Osimhen di minit ke-61 telah dibatalkan oleh pengadil selepas seorang pemain tuan rumah berada dalam keadaan ofsaid.
Pada minit ke-70, giliran jaringan Liverpool pula dibatalkan oleh Video Bantuan Pengadil (VAR) setelah bola mengenai tangan Ibrahim Konate sebelum bergolek masuk ke gawang tuan rumah.
Aksi di Stadium Rams Park berakhir dengan kemenangan 1-0 memihak Galatasaray dengan perlawanan timbal balik kedua akan diadakan pada 19 Mac hadapan di gelanggang keramat Liverpool, Anfield.