Ads
UCL: Liverpool Tumbangkan AC Milan Di San Siro
UEFA Champions League
Liverpool FC

Liverpool membuka kempen Liga Juara-Juara UEFA (UCL) dengan kemenangan apabila mengalahkan AC Milan di San Siro.

Advertisements

Selepas tewas mengejut 1-0 di tangan Nottingham Forest, The Reds yang dibimbing Arne Slot mahu bangkit meraih kemenangan. Manakala Rossoneri pula mahu meneruskan rentak kemenangan selepas membelasah Venezia 4-0 dalam saingan Serie A.

Advertisements

Mohamed Salah, Cody Gakpo dan Diogo Jota menjadi sandaran Slot untuk merobek gawang AC Milan. Manakala pemenang EURO 2024, Alvaro Morata ditugaskan untuk menembusi gawang Liverpool.

Advertisements
Advertisements

Penyokong Rossoneri ceria apabila mereka mendahului seawal minit ketiga. Selepas menerima hantaran daripada Morata, Christian Pulisic pantas membuat larian ke arah gawang The Reds sebelum menewaskan Alisson.

Tersentak, Liverpool bangkit mengatur serangan balas. Mereka hampir menyamakan kedudukan menerusi Salah pada minit ke-17 tetapi rembatannya terkena palang.

Advertisements

Gol yang dicari-cari pelawat akhirnya muncul pada minit ke-24. Ibrahima Konate mudah menanduk hantaran Trent Alexander-Arnold melepasi penjaga gol AC Milan, Mike Maignan.

The Reds terus meningkatkan tekanan ke atas kubu pertahanan tuan rumah yang dikawal bekas bek tengah Chelsea, Fikayo Tomori. Ini memaksa Rossoneri bekerja keras mengawal gawang mereka daripada dibolosi.

Malangnya, apa yang dihajati mereka tidak kesampaian. Kapten Liverpool, Virgil van Dijk mudah menanduk bola melepasi Maignan pada minit ke-41.

AC Milan yang dibimbing Paulo Fonseca berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Fonseca terpaksa memasukkan penjaga gol gantian, Lorenzo Torriani pada minit ke-51. Ini selepas Maignan dilihat tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.

AC Milan menyangka mereka mendapat penalti pada minit ke-59 apabila Morata mendakwa dirinya dikasari Cody Gakpo. Walau bagaimanapun, pengadil tidak melayan dakwaan penyerang Sepanyol itu dan menganugerahkan sepakan percuma kepada Liverpool.

Enam minit selepas itu, The Reds menggandakan kelebihan gol mereka. Selepas melakukan larian ke arah kubu AC Milan, Gakpo menghantar bola yang mudah disempurnakan Dominik Szoboszlai.

Penyerang England, Tammy Abraham hampir merapatkan jurang gol buat Rossoneri pada minit akhir permainan. Malangnya, percubaan deras bekas penyerang Chelsea itu terkena palang.

AC Milan terus mengasak tetapi keputusan 3-1 memihak kepada Liverpool pada akhir permainan. Impak Gakpo diiktiraf sebagai pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.0.

Selepas ini, kedua-dua pasukan akan kembali fokus kepada kempen liga domestik masing-masing. Rossoneri akan menentang musuh setempat, Inter Milan pada awal pagi 23 September.

Advertisements

Sementara Liverpool pula bakal berdepan cabaran Bournemouth di Anfield pada 21 September.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram