Juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2023/24, Man City menghela nafas lega apabila berjaya layak ke pusingan play-off Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan wakil Belgium, FC Brugge dalam aksi terakhir liga UCL di Stadium Etihad.
City sedar mereka perlu menang selepas tewas 4-2 di tangan PSG. Brugge turut membawa misi sama bagi memastikan mereka memiliki kedudukan liga UCL yang lebih baik.
Kapten The Citizens, Kevin de Bruyne kembali menjadi nadi kreativiti dalam kesebelasan utama. Penyerang Sepanyol, Ferran Jutgla mengetuai serangan FCB.
Christos Tzolis hampir meletakkan pelawat di hadapan seawal minit ketiga. Percubaannya dari sebelah kanan mencetuskan kelam-kabut dalam kotak penalti City sebelum berjaya dikeluarkan.
The Citizens menyangka mereka telah mendahului pada minit ke-16 menerusi Bernardo Silva. Malangnya, golnya dibatalkan atas kesalahan ofsaid.
Kebimbangan penyokong City tentang kerapuhan pasukan mereka menjadi kenyataan apabila Raphael Onyedika meletakkan Brugge di hadapan pada minit ke-45.
Gol tersebut memastikan pelawat memiliki kelebihan 1-0 sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, pengendali City, Pep Guardiola memasukkan Savinho menggantikan Ilkay Gundogan untuk menambah sengat di bahagian serangan.
City hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi John Stones. Malangnya, tandukan bek tengah England itu tidak menepati sasaran.
Gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya hadir lima minit selepas itu. Mateo Kovacic melepaskan rembatan yang gagal dinafikan bekas penjaga gol Liverpool, Simon Mignolet.
Tzolis hampir meletakkan FCB di hadapan pada minit ke-55 tetapi dinafikan Ederson. Sebaliknya, giliran City mendahului menerusi gol sendiri Joel Ordonez enam minit selepas itu.
Savinho menjadi duri dalam daging kepada pertahanan Brugge dengan melakukan satu hantaran rendah dalam kotak penalti. Ordonez bernasib malang kerana tertolak bola melepasi Mignolet.
Kemenangan City akhirnya disahkan menerusi Savinho pada minit ke-77. Selepas menerima hantaran Stones, pemain sayap Brazil itu mudah menewaskan Mignolet.
Keputusan ini menyaksikan The Citizens melonjak ke tangga ke-22 liga UCL. Brugge pula jatuh ke tangga ke-24 tetapi masih layak ke pusingan play-off dari segi kelebihan jaringan.
Kini, mereka dan 22 pasukan lagi bakal menanti cabutan yang menentukan pasukan mana yang akan dihadapi dalam pusingan play-off.
Stones dipilih pemain terbaik perlawanan oleh Sofascore dengan markah 8.2. Beliau mengatasi cabaran Kovacic dan de Bruyne yang masing-masing meraih markah 8.1 dan 8.0.
City bakal berdepan satu lagi ujian sukar apabila mereka akan berdepan Arsenal pada 3 Februari. FCB pula bakal berdepan Royal Antwerp pada 2 Februari.