Kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid meraih kelebihan awal ke atas Bayern Munich di peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA (UCL) apabila mengikat pasukan itu 2-2 di Allianz Arena awal pagi ini.
Selepas hampa melihat Bayer Leverkusen bergelar juara Bundesliga musim 2023/24, Bayern berharap dapat mara ke final dan bergelar juara UCL buat kali ketujuh dalam sejarah mereka.
Sementara Los Blancos pula berharap dapat meraih satu lagi trofi untuk musim 2023/24. Pasukan yang dibimbing Carlo Ancelotti itu berada pada kedudukan terbaik untuk menggondol gelaran juara La Liga.
Babak pertama menyaksikan tuan rumah berusaha mendapatkan kelebihan gol awal menerusi penyerang berbisa England, Harry Kane.
Malangya, setiap serangan yang diatur berjaya dipatahkan barisan pertahanan pelawat diketuai bekas bek tengah Chelsea, Antonio Rudiger.
Sebaliknya, Los Blancos membuka tirai jaringan menerusi pemain sayap Brazil, Vinicius Junior pada minit ke-24. Itu merupakan gol ke-21 beliau dalam semua kejohanan untuk musim 2023/24.
Tersentak, Die Roten cuba bangkit memburu gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada separuh masa kedua, Bayern yang dibimbing bekas pengendali Chelsea, Thomas Tuchel bangkit mendapatkan gol penyamaan.
Bekas pemain sayap Manchester City, Leroy Sane menceriakan Allianz Arena dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-53.
Pelawat semakin tertekan apabila pengadil menganugerahkan sepakan penalti kepada Die Roten. Ini selepas bintang muda Jerman, Jamal Musiala dijatuhkan Federico Valverde dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Kane pada minit ke-57 untuk gol ke-43 dalam semua kejohanan musim 2023/24.
Tatkala Bayern berharap kelebihan tipis ini dapat dibawa ke Bernabeu pada minggu hadapan, pelawat diberi sepakan penalti.
Ini selepas pengadil mengesan kekasaran yang dilakukan bintang Korea Selatan, Kim Min-jae ke atas Vinicius dalam kotak penalti.
Penalti tersebut mudah disempurnakan Vinicius menewaskan Manuel Neuer bagi memastikan kedua-dua pasukan terikat 2-2 dari segi agregat.
Sofascore memilih rakan sepasukan beliau, Toni Kroos sebagai pemain terbaik perlawanan dengan 8.5 mata, 0.2 mata di hadapan Kane.
Kedua-dua pasukan sekali lagi akan beradu di Bernabeu pada awal pagi 9 Mei ini bagi menentukan pasukan mana mara ke final UCL 2023/24.