UCL: Real Madrid ‘Hukum’ Inter Milan
MakanBola
Inter

Real Madrid membuka kempen Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2026-2027 dengan cukup bergaya selepas menewaskan Inter Milan di halaman sendiri pada awal pagi Rabu.

Kemenangan tipis 2-1 diraih Real Madrid dalam aksi pembukaan UCL musim ini setelah dua gol diperoleh daripada kesilapan pemain-pemain Inter Milan hingga membantu jaguh LaLiga itu mengutip 3 mata pada perlawanan ini.

Trio Kylian Mbappe, Brahim Diaz dan Vinicius Jr menjadi pilihan pengurus Real Madrid, Jose Mourinho untuk memburu jaringan manakala Inter Milan turun dengan formasi 3-5-2 sambil diketuai oleh bintang Argentina, Lautaro Martinez.

Gol pembukaan terhasil seawal minit ke-14 setelah kesilapan Yann Bisseck dihukum oleh jentera serangan Real Madrid dengan Kylian Mbappe tenang menolak bola ke gawang Inter Milan bagi meletakkan tuan rumah di depan 1-0.

Pada minit ke-23, giliran penjaga gol Inter Milan, Josep Martinez membuat kesilapan yang membawa padah setelah kawalan bolanya yang tidak kemas membuka peluang kepada Federico Valverde menjaringkan gol kedua Real Madrid.

Inter Milan akhirnya berhasil merapatkan jurang apabila mencetak jaringan pertama pada minit ke-77 hasil tampanan sempurna Carlos Augusto namun gol tersebut tidak cukup bagi meranapkan impian Real Madrid mengutip 3 mata di laman sendiri.

Aksi tamat, Real Madrid 2-1 Inter Milan.