Hasrat Man City bangkit dalam aksi kedua playoff Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musnah apabila tewas 3-1 kepada Real Madrid di Bernabeu.
The Citizens perlu meraih kemenangan dengan kelebihan sekurang-kurangnya dua gol sekiranya ingin mara ke pusingan 16 terbaik. Los Blancos pula hanya perlu mempertahankan kelebihan agregat mereka untuk mara.
Bek tengah Uzbekistan, Abdukodir Khusanov kembali berada dalam kesebelasan utama City. Meskipun berdepan masalah kecederaan, pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti tetap menurunkan barisan terkuat termasuk peledak utama Perancis, Kylian Mbappe.
Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah terlebih dahulu di hadapan seawal minit keempat menerusi Mbappe.
Sebaik mengesan bekas penyerang AS Monaco itu di belakang pertahanan City, Raul Asencio membuat satu hantaran jauh yang disambar Mbappe. Beliau kemudiannya melambungkan bola ke arah gol selepas menyedari Ederson berada di luar garisan gol.
Tugas City semakin sukar apabila John Stones terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan empat minit selepas itu. Pengurus City, Pep Guardiola memasukkan Nathan Ake sebagai pengganti.
Mbappe terus membuktikan dirinya makin berbisa apabila menyumbat gol kedua Los Blancos pada minit ke-32. Peledak Perancis itu menyudahkan hantaran Rodrygo untuk menewaskan Ederson buat kali kedua.
City cuba bangkit merapatkan defisit gol tetapi keputusan 2-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung selepas rehat, tuan rumah terus memberi tekanan kepada City untuk menambah kelebihan agregat.
Selepas membantu Mbappe menjaringkan gol, giliran Rodrygo pula mahu meletakkan dirinya sebagai penjaring pada minit ke-50. Percubaan penyerang Brazil itu pantas dinafikan Ederson.
Mbappe mencipta hatrik dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-61. Ini menyebabkan Real Madrid memiliki kelebihan 6-2.
City merapatkan jurang agregat menerusi Nico Gonzalez pada minit akhir perlawanan. Walau bagaimanapun, itu sudah terlewat untuk menghalang kemaraan Real Madrid ke pusingan 16 terbaik.
Keputusan ini menyaksikan City jadi pasukan England pertama tersingkir dari saingan UCL. Sofascore memilih Mbappe sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.5.
Kini, fokus The Citizens beralih kepada aksi liga menentang Liverpool pada 24 Februari. Real Madrid pula bakal menentang Girona pada 23 Februari.