Pasukan Kedah Darul Aman FC bakal menempuh ujian berat dalam kempen Liga Super dan Challenge Cup pada Januari tanpa beraksi di laman sendiri.
Anak didik Victor Andrag baru sahaja selesai mengharungi aksi suku akhir Challenge Cup yang mana skuad Sang Kenari itu berjaya mengatasi KL Rovers hasil keputusan agregat 6-0.
Kemaraan Kedah ke separuh akhir bakal menyaksikan jadual pasukan di bulan Januari semakin sibuk di samping saingan Liga Super yang turut berlangsung pada masa yang sama.
Walau bagaimanapun, Kedah akan menempuh jadual padat tanpa sokongan kuat dari peminat di laman sendiri apabila kesemua aksi di bulan Januari bakal diadakan di gelanggang lawan.
Kedah akan memulakan aksI bulan Januari bertemu Kelantan DN pada 10 Januari dengan Stadium Sultan Muhammad IV dijangka menjadi venue apabila proses menaiktaraf selesai.
Selepas itu, Sang Kenari bakal terus berangkat ke Lembah Klang untuk perlawanan separuh akhir pertama Challenge Cup berdepan PDRM pada 18 Januari di Stadium Selayang.
6 hari kemudian, pasukan kendalian Victor Andrag ini akan berdepan ujian hebat Kuching City di Stadium Negeri dalam kempen Liga Super sebelum menutup tirai aksi di bulan Januari.
Beraksi tanpa sokongan daripada penyokong di laman sendiri sepanjang bulan Januari pastinya bakal memberi impak buat motivasi para pemain Kedah selain turut dibelenggu masalah di luar padang.
Kedah kini berada di tangga ke-9 Liga Super dengan 17 mata selepas 16 perlawanan hasil 5 kemenangan, 5 keputusan seri dan 6 kekalahan sepanjang musim ini.