Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berdepan ujian berganda menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia menentang juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Sebelum ini, juara edisi 2021 itu diuji dengan isu gaji lama membabitkan beberapa bekas pemain dan staf kejurulatihan.
Isu tersebut juga menyebabkan KL City dikenakan sekatan perpindahan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Kini, anak buah Risto Vidakovic berdepan kemungkinan persediaan mereka menghadapi JDT terjejas disebabkan oleh beberapa faktor.
Isu ketiadaan pusat latihan dan cuaca tidak menentu sejak kebelakangan ini menyukarkan perancangan latihan The City Boys.
“Kami berlatih sepanjang minggu dan kami menjalani sesi latihan minggu lepas dan minggu ini dan ini adalah satu-satunya hari yang terganggu kerana hujan.
“Kami tidak boleh mengubah masa kerana itu sudah lewat. Kami (semakin) hampir dengan (hari) perlawanan dan kami tidak boleh menukar (sesi latihan) kepada sesi pagi kerana sudah tentu, kami kena menyesuaikan diri dengan satu masa.
“Kami tidak boleh mengubahnya sekarang dan kami perlu semua (data) bio-ritma daripada pemain, kami perlu buat perubahan jika kami mengubah masa (sesi latihan),” katanya kepada Nadi Arena.
Selain isu cuaca dan ketiadaan padang latihan, ketiadaan beberapa tonggak juga menyukarkan perancangan Vidakovic.
Ini kerana ramai pemain KL City memenuhi tugasan antarabangsa bersama skuad kebangsaan masing-masing.
Meskipun begitu, Vidakovic percaya barisan pemain yang tiada juga akan bersedia bagi menghadapi aksi penting itu.
“Setakat ini, pemain-pemain yang tidak hadir ialah pemain yang terikat dengan tugasan pasukan kebangsaan tetapi saya fikir mereka akan bersedia apabila mereka kembali.
“Pada ketika ini, kita sudah bersedia, semua orang bersedia untuk perlawanan itu,” ujarnya.
KL City akan berdepan JDT di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April. Satu lagi aksi separuh akhir pertama menemukan Selangor FC dan Kuching City FC.