Usahawan Malaysia Beli Kelab Australia, Central Coast Mariners
MakanBola
Central Coast Mariners

Central Coast Mariners (CCM) kini menjadi milik jutawan Malaysia, Datuk Ruben Emir Gnanalingam Abdullah.

Pengambilan bekas juara Piala AFC musim 2023/24 itu dimuktamadkan Ruben menerusi Total Soccer Growth Holdings (TSGH) pada awal Julai lalu. Pengambilalihan ini menyaksikan TSGH kini memiliki skuad utama dan akademi kelab itu.

Antara sebab yang mendorong Ruben memilih CCM ialah semangat komuniti kuat yang dimiliki kelab berkenaan. Hal ini dinyatakan beliau dalam satu surat terbuka kepada penyokong kelab itu.

“Apabila kami melihat The Mariners, kami melihat kumpulan peminat dengan semangat sebenar, sejarah melahirkan pemain bola sepak Australia yang cemerlang dan detik-detik bola sepak yang luar biasa serta komuniti yang berpotensi besar.

“Gabungan itu jarang berlaku. Kami mengenalinya dan mahu menjadi sebahagian daripadanya.

“Cita-cita kami mudah, membina sebuah kelab yang dibanggakan oleh Central Coast. Ini bermakna kejayaan di atas padang dan di luar padang dan bagi kami, dua perkara itu harus seiring,” katanya.

Selepas mengambil alih CCM, TSGH memilih mengekalkan Matt Simon sebagai pengarah sukan. TSGH juga mahu menyokong ketua jurulatih, John Hutchinson membentuk skuad mantap menjelang musim baru A-League.

Selain CCM, Ruben juga dikenali sebagai pemegang saham majoriti kelab Liga Kejohanan, Queens Park Rangers (QPR). Beliau juga memiliki saham pemilikan untuk kelab Major League Soccer (MLS), Los Angeles FC (LAFC).

Ruben dan pengerusi QPR, Lee Hoos melihat model pemilikan pelbagai kelab sebagai kunci untuk membantu kedua-dua kelab tampil lebih cemerlang selepas ini.

Pemilikan CCM dijangka membantu The Hoops mendapatkan lebih ramai pemain berbakat Australia. Antara pemain Australia yang kini bersama QPR ialah Daniel Bennie, Jaylan Pearman, Christian Pullella dan Kealey Adamson.