Kapten Belanda, Virgil van Dijk menyifatkan padang Volksparkstadion untuk aksi Kumpulan D EURO 2024 menentang Poland hari ini sebagai memalukan.
Akhbar Daily Mail melaporkan kedua-dua pasukan menyuarakan kebimbangan tentang keadaan padang stadium berkenaan.
Ini ditambah dengan arahan Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) yang tidak membenarkan kedua-dua pasukan berlatih di Volksparkstadion untuk latihan pra-perlawanan.
Arahan tersebut dibuat atas alasan untuk memastikan padang berada dalam keadaan terbaik untuk aksi hari ini.
Walau bagaimanapun, kualiti padang yang teruk mengundang rasa tidak puas hati bek tengah Liverpool itu. Malah, van Dijk percaya keadaan padang Volksparkstadion hampir sama dengan padang di Frankfurt untuk aksi persahabatan Belanda-Jerman pada Mac lalu.
“Kita tak tahu sama sekali sama ada padang teruk atau tak. Padangnya nampak hampir sama dengan padang yang digunakan untuk perlawanan di Frankfurt bila kita turun menentang Jerman.
“Bahagian permukaan atas rumput mungkin akan terjejas dengan cepat. Ini sesuatu yang memalukan tetapi kedua-dua pasukan perlu menanganinya,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan yang diadakan semalam.
Pendapat bek tengah berusia 32 tahun itu turut dipersetujui pengurus Belanda, Ronald Koeman. “Kita tidak dibenarkan berlatih di sini (Volksparkstadion) disebabkan kualiti padang yang teruk,” ujarnya.
Belanda berharap dapat membuka kempen Kumpulan D dengan kemenangan ke atas Poland hari ini.
Volksparkstadion merupakan stadium milik kelab Jerman, Hamburger SV. Stadium ini akan digunakan sebagai tuan rumah lima perlawanan EURO 2024 termasuk satu aksi suku akhir.