Sejak Lim Teong Kim diumumkan secara rasmi sebagai pengendali baru Perak pada 13 September lalu, media Perak Football Club mula memuat naik rakaman sesi latihan.
Susuk tubuh Lim Teong Kim sebagai jurulatih yang cukup popular di Malaysia sentiasa menjadi perhatian dan suaranya yang kuat jelas kedengaran dari luar padang.
“Apabila kamu bertahan, jangan tumpu pada bola saja.”
Ini antara kata-kata yang keluar dari mulutnya dan beliau kelihatan amat tegas mendidik anak buahnya agar kekal disiplin dan beraksi sebaik mungkin pada perlawanan sebenar.
Para pemain dilihat serius dan bersungguh-sungguh berlatih. Dalam rakaman yang sama turut kelihatan Ketua Jurulatih sekarang, Yusri Che Lah yang akan membantu Lim Teong Kim menjelang musim baru kelak.
Perak bakal menamatkan kempen 2022 lebih awal selepas gagal layak ke Piala Malaysia 2022.