Beberapa tahun yang lalu, penjaga gol ini masih menjadi pengawal keselamatan di sebuah syarikat minyak dan gas. Tetapi kemudian titik perubahan hadir dalam kariernya, dan pada usia 32 tahun, dia membuat penampilan pertamanya untuk pasukan kebangsaan Vietnam.
Pemain yang dimaksudkan adalah Nguyen Dinh Trieu. Penjaga gol yang beraksi untuk kelab Hai Phong itu diberikan tanggungjawab untuk mengawal gawang Vietnam daripada dibolosi pada aksi Vietnam menentang Turkmenistan tempoh hari.
Pemilihan yang dibuat pengendali Vietnam, Philippe Troussier itu nyata tidak menghampakan walaupun banyak pihak yang sedar bahawa posisi penjaga gol Vietnam selalunya diisi oleh penjaga gol terkenal Vietnam, Dang Van Lam.
Dinh Trieu pertama kali dipanggil menyertai pasukan kebangsaan Vietnam pada Jun 2023 namun pada ketika itu beliau gagal mendapatkan kaps pertama antarabangsanya bersama Vietnam.
Dengan penampilan sulung Dinh Trieu hadir ketika menentang Turkmenistan maka dengan itu, segala jerih perih yang dilalui pemain itu sejak sekian lamanya telah pun berakhir dengan sempurna.
Untuk rekod, Dinh Trieu pernah bermain untuk Vietnam B19 pada Pusingan Akhir Asia B19 2010, tetapi kemudian terpaksa melepaskan kerjayanya pada usia 23 tahun dan menjadi pengawal keselamatan untuk meneruskan kelangsungan hidup.