Jentera baru Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team yang bakal ditunggang Hafizh Syahrin turut membawa aura Duli Yang Amat Mulia (DYAM) Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim.
Atau lebih tepat, wajah baginda pada bahagian belakang topi keledar Hafizh yang akan digunakan untuk saingan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024.
Imej TMJ itu dikesan peminat permotoran menerusi siri gambar yang dimuatnaik ke halaman Johor Southern Tigers (JST) hari ini.
Imej baginda yang meletakkan jari di bibir menjadi bualan ramai terutama peminat JDT di ruang komen. Malah, ada yang menyatakan imej TMJ itu sebagai ikonik.
Yang pasti, kehadiran JDT Racing Team dalam dunia permotoran meneruskan usaha baginda untuk melebarkan pengaruh JDT dalam sukan-sukan lain.
JDT Racing Team bakal memulakan saingan ARRC 2024 di di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini.
Hafizh dijangka berdepan cabaran ramai jaguh hebat dalam kategori Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) seperti Markus Reiterberger, Zaqhwan Zaidi dan Azlan Shah Kamaruzaman.