Pengendali baharu Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail sedia mendepani cabaran memulihkan prestasi pasukan itu untuk baki kempen Liga Malaysia (Liga M).
Sejak meraih kemenangan ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 1 Ogos lalu, Penang kini mengharungi tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan.
Selain itu, pasukan yang diberi jolokan Harimau Kumbang itu juga gagal menjaringkan gol dalam tiga perlawanan berturut-turut Liga Super.
Situasi ini menyebabkan pengurusan Penang FC memilih merehatkan pengendali sebelumnya, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan membawa masuk Wan Rohaimi.
Bekas jurulatih PDRM FC itu mengakui bukan mudah untuk memulihkan prestasi Harimau Kumbang yang kini di tangga ke-11 liga selepas 14 perlawanan.
Pada masa sama, Wan Rohaimi percaya dengan perubahan taktik dan strategi baharu, ini akan membantu pasukan itu bangkit menjelang aksi pusingan 16 pasukan terbaik Piala Malaysia menentang Kuching City FC.
“Betul, cabaran besar menanti saya selepas ini dan perlawanan pertama lawan Kuching City itulah akan menjadi titik permulaan untuk saya.
“Tetapi pasukan ini sebenarnya bukanlah asing untuk saya sebab pernah bermain pada tahun 2003 dan sebagai jurulatih Piala Presiden pada tahun 2020.
“Jadi bila saya dapat tawaran ini, saya memang tak fikir panjang dan positif dengan pengalaman yang saya ada dapat bawa perubahan kepada kelab ini,” katanya.
Meskipun sedar tempoh bersama pasukan barunya itu tidak lama, Wan Rohaimi berharap dapat mengenali lebih rapat barisan pemain yang ada. Ini dapat membantunya menambah baik kelemahan pasukan yang dikenal pasti.
“Saya harus menggunakan masa yang ada ini untuk kenal terlebih dahulu dengan pemain-pemain yang ada ketika ini.
“Jadi, hari ini (semalam) hari pertama saya bersama pasukan dan berharap kami dapat lebih serasi untuk perbaiki segala aspek dengan lebih baik.
“Saya ada kenal juga sebahagian daripada pemain yang pernah bersama saya sebelum ini, tetapi sekarang tugas saya adalah untuk menambah baik kekurangan yang ada,” ujarnya.
Selain PDRM FC, Wan Rohaimi pernah menggalas peranan penolong jurulatih KL City FC dan staf kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Nasional (NFDP).
Penang bakal melayan kunjungan The Cats di Stadium Bandaraya pada 21 November. Ini disusuli aksi timbal balik pusingan 16 Piala Malaysia di Kuching pada 30 November.