Susulan spekulasi bekas penyerang Manchester United, Radamel Falcao bakal menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada tetingkap perpindahan kedua, ia mencetuskan minat penyokong terhadapnya. Dan terbaru, ada yang mendakwa Falcao bakal menerima gaji berjumlah AS$1 juta (RM4.46 juta) semusim.
Ini berdasarkan laporan El Deportivo, sebuah portal sukan yang berpangkalan di Colombia. Laporan sama turut menyatakan wartawan, Felipe Sierra mendedahkan kontrak yang bakal dimeterai bekas penyerang Chelsea itu turut mengandungi beberapa bonus lumayan buatnya.
Sekiranya perpindahan ini menjadi kenyataan, ia dilihat medan buat Falcao membuktikan dirinya masih berbisa sebagai penyerang. Ini kerana penyerang berusia 37 tahun itu hanya menjaringkan dua gol semasa bersama Rayo Vallecano musim ini.
Selain United, Chelsea dan Vallecano, El Tigre juga pernah beraksi untuk AS Monaco, FC Porto, River Plate, Galatasaray dan Atletico Madrid.
Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim memberi bayangan bahawa penyerang Colombia itu bakal menjadi sebahagian daripada Harimau Selatan. Malah, ciapan baginda di Twitter turut disambut oleh Falcao dan ejen bola sepak antarabangsa, Morris Pagniello.
Falcao dijangka bakal bersaing dengan Diogo Luis Santo, Bergson da Silva dan Fernando Forestieri untuk slot di bahagian serangan.