Penyerang Penang FC, Dylan Wenzel-Halls mengakui teruja melihat ramai penyokong membanjiri Stadium Bandaraya untuk aksi final pertama MFL Challenge Cup.
Ini kerana pada hemat bekas penyerang Central Coast Mariners (CCM) itu, ini menunjukkan peminat bola sepak negara tetap meminati sukan itu meskipun ia dibelenggu dengan beberapa isu.
Selain itu, ia turut menyuntik semangat para pemain untuk mempamerkan persembahan terbaik terutama untuk aksi penting seperti final pertama MFL Challenge Cup.
“Bagi saya, ia memang menakjubkan. Saya suka melihat semangat yang dibawa peminat untuk perlawanan ini.
“Saya suka bermain di hadapan stadium yang penuh (dengan para penyokong) ini kerana itulah simbol erti sebenar bola sepak. Berkongsi detik-detik antara satu sama lain dan bermain di hadapan peminat.
“Bola sepak Malaysia telah melalui masa yang sukar dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Tetapi sejak saya berada di sini, saya menikmati setiap saat saya bermain di Malaysia,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Kamal Nizam.
Penang terlepas peluang meraih bekalan selesa untuk aksi final kedua apabila diikat 1-1 dengan Sabah FC.
Selepas mendahului menerusi gol Wenzel-Halls, Sabah menyamakan kedudukan menerusi penalti tonggak import, Gabriel Peres.
Justeru, penentuan juara bakal ditentukan menerusi aksi final kedua di Stadium Likas pada 19 April ini.