Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mengesahkan tempat ke separuh akhir World Tour Finals lebih awal apabila menundukkan Anders Antonsen pada Khamis.
Setelah melakar kemenangan ke atas Chou Tien Chen pada Rabu, Zii Jia dijadualkan bertemu pemain Denmark, Anders Antonsen dalam misi memburu tempat lebih awal ke separuh akhir.
Berdasarkan rekod lampau, Antonsen memiliki kelebihan tipis apabila mencatat 5 kemenangan dalam sembilan pertemuan sebelum ini dengan dua aksi terakhir memihak kepada Zii Jia.
Aksi berlangsung cukup sengit dengan permainan rally serta smash kencang menghiburkan penonton yang hadir sebelum kedudukan terikat 10-10 dan Antonsen memimpin permainan ketika interval.
Pertahanan mantap dari Zii Jia selepas itu memaksa lawan kerap kali melakukan kesilapan sekaligus menghadiahkan mata-mata mudah untuk memastikan kemenangan di set pertama.
Bersambung di set kedua, Antonsen tidak memberi banyak ruang untuk Zii Jia menyerang tatkala skrip hampir sama di set pertama ketika wakil Denmark ini sekali lagi mendahului 11-7.
Kebangkitan yang diharapkan oleh peminat negara akhirnya tiba apabila Zii Jia meraih 4 mata berturut-turut dan kembali memintas Antonsen dan muncul pemenang dalam masa 47 minit.
Pertarungan di gelanggang dua berakhir dengan keputusan 21-14, 21-19.
Kemenangan ini memastikan tempat Zii Jia di separuh akhir setelah mencatat dua kemenangan dan menjadi wakil kedua Malaysia selepas Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Pada aksi terakhir kumpulan pada Khamis, Zii Jia akan turun berdepan jaguh China, Li Shi Feng manakala Antonsen pula bakal menentang Chou Tien Chen dari Chinese Taipei.