Xisco Munoz Bimbang Benteng JDT Rapuh
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz mengakui bimbang dengan kerapuhan benteng pasukan itu selepas dibolosi sebanyak dua kali dalam dua aksi terakhir mereka.

Meskipun meraih kemenangan 7-2 ke atas Penang FC dalam aksi suku akhir pertama Piala FA, gawang JDT dirobek sebanyak dua kali. Penang meraih dua gol menerusi Enzo Celestine dan Khala’if Naskam.

Aksi pertama Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pula menyaksikan JDT diikat Buriram United 1-1. Selepas mendahului menerusi Oscar Arribas, Buriram merobek gawang tuan rumah menerusi Stefan Schimmer.

Munoz melihat kelemahan ini perlu diatasi segera memandangkan Harimau Selatan bersaing dalam banyak kejohanan termasuk Piala FA dan ACLE.

Atas sebab itu, bekas jurulatih Watford itu mahu JDT bukan saja kekal seimbang dari menyerang dan bertahan. Malah, beliau mahu memastikan pasukan itu dapat menambah rekod tanpa bolos mereka musim ini.

“Kita kena cuba cari lebih banyak keseimbangan dan dalam detik-detik penting. Detik pertama dalam tempoh 30 minit pada separuh masa kedua, kita kena berhenti dan kita tidak boleh berundur.

“Amat penting untuk pemain-pemain yang tiba dalam situasi-situasi dalam perlawanan lebih baik. Kedua, (dibolosi) gol pada minit akhir.

“Saya tak tahu apa yang berlaku tetapi kita kena perbaiki detik-detik sebegini kerana amat penting untuk kita jadi kuat dari minit pertama berbanding dalam aksi sebelumnya. Amat penting untuk kita kena lebih seimbang dan merekodkan rekod tanpa bolos dalam kejohanan,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.

Untuk rekod, JDT masih belum dibolosi dalam lima aksi Liga Super dan menjaringkan 25 gol. Saingan piala pula menyaksikan JDT merekodkan 23 gol dan dibolosi empat kali di pentas Piala FA dan ACLE.

Harimau Selatan berpeluang mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala FA dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 9 Oktober ini.